Junta Myanmar lanjutkan gencatan senjata selama sebulan

Junta Myanmar lanjutkan gencatan senjata selama sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Junta tentera Myanmar melanjutkan gencatan senjata pasca-gempa bumi selepas tempoh terdahulu tamat, meskipun ia dituduh melanggarnya dengan meneruskan kempen serangan udara.

Gencatan senjata itu awalnya diumumkan selepas satu gempa bumi besar melanda negara itu pada akhir Mac, mengorbankan hampir 3,800 orang dan menyebabkan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal.

Gencatan senjata tersebut sudah beberapa kali dilanjutkan, namun pemantau konflik melaporkan pertempuran masih berterusan, termasuk serangan udara secara berkala.

Kenyataan yang dikeluarkan pasukan maklumat junta pada Sabtu memaklumkan gencatan senjata yang tamat pada 31 Mei akan dilanjutkan sehingga 30 Jun.

Menurut kenyataan itu, lanjutan gencatan tersebut bertujuan untuk memudahkan usaha pemulihan dan pembinaan semula di kawasan-kawasan yang terjejas akibat gempa bumi.

Tambah kenyataan itu lagi, kerajaan sedang giat membaik pulih pejabat-pejabat kerajaan, kediaman awam dan kemudahan pengangkutan yang rosak.

Junta turut menyatakan gencatan senjata ini akan membuka jalan untuk mengadakan pilihan raya umum pelbagai parti yang bebas dan adil.

Ketua junta sebelum ini memaklumkan pilihan raya yang telah lama dijanjikan itu akan diadakan sebelum Januari tahun depan, menjadikannya proses pengundian pertama sejak tentera merampas kuasa empat tahun lalu.

Namun, kenyataan itu turut memberi amaran pasukan tentera akan tetap bertindak balas terhadap sebarang serangan oleh kumpulan bersenjata etnik dan pejuang anti-rampasan kuasa.

Pengumuman ini dibuat selepas Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan menggunakan mesyuarat serantau minggu lalu untuk menyeru agar gencatan senjata dilanjutkan dan diperluaskan melebihi kawasan yang terjejas kini.

Malaysia kini memegang kerusi pengerusi bergilir ASEAN.

Blok serantau dianggotai 10 negara itu mengetuai usaha diplomatik untuk menamatkan konflik di Myanmar sejak junta menggulingkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi, pada Februari 2021.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN