Jual teh daun ketum kepada pelajar sekolah, kafe di Chiang Rai diserbu pihak berkuasa - Utusan Malaysia

Jual teh daun ketum kepada pelajar sekolah, kafe di Chiang Rai diserbu pihak berkuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHIANG RAI: Sebuah kafe di Chiang Rai diserbu oleh pihak berkuasa tempatan selepas didapati menjual teh daun ketum secara haram kepada pelajar sekolah.

Operasi yang diketuai oleh Gabenor Chiang Rai, Charin Thongsuk mendedahkan trend membimbangkan apabila golongan remaja mengambil teh ketum dengan bahan perangsang semasa waktu persekolahan dan lewat malam.

Pihak berkuasa menemui 19 pelajar berusia antara 15 hingga 19 tahun dengan sebahagiannya masih memakai uniform sekolah berkumpul di kafe yang terletak di Jalan Jed Yod, daerah Mueang tersebut.

Pelajar-pelajar itu dilihat bersosial, bermain permainan di telefon bimbit dan meminum teh ketum menyebabkan gangguan besar kepada penduduk sekitar.

Tindakan serbuan ini diambil selepas beberapa aduan daripada penduduk setempat mengenai bunyi bising dan gangguan yang berterusan pada waktu malam.

“Kafe ini telah menjadi tempat berkumpul di mana pelajar minum teh ketum dan mengganggu ketenteraman penduduk hingga larut malam,” kata Thongsuk.

Operasi bersepadu ini melibatkan pihak polis, pegawai daerah dan anggota tentera dan hasil pemeriksaan mendapati pelajar sedang menikmati makanan ringan, minuman ringan, dan teh ketum yang mempunyai kesan merangsang.

Walaupun ketum tidak lagi dikategorikan sebagai dadah haram di Thailand, penjualannya kepada individu bawah umur tanpa lesen adalah satu kesalahan undang-undang.

Pemilik kafe yang dikenal pasti sebagai Talan, 35, ditahan dan dikenakan dua pertuduhan. Beliau mengaku menjual teh ketum berperisa pada harga 80 baht (RM10.43) segelas.

Talan kini ditahan di Balai Polis Mueang Chiang Rai untuk tindakan undang-undang selanjutnya, menurut laporan Bangkok Post. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN