GAZA: Israel menutup hampir semua lintasan masuk ke utara Gaza, sekali gus menjejaskan laluan utama untuk penghantaran bantuan kemanusiaan kepada ratusan ribu penduduk yang berdepan kebuluran.
Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal berkata, tentera Israel membunuh 56 orang pada Khamis, termasuk enam individu yang menunggu bantuan makanan di dua lokasi berasingan.
Tiada pengesahan bebas terhadap dakwaan itu, namun menurut The Guardian, rekod perubatan daripada hospital medan yang dikendalikan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa dan NGO lain menunjukkan ratusan cedera akibat ditembak ketika orang awam mendapatkan bantuan dalam tempoh dua minggu lalu.
Tentera Israel mendakwa, pasukannya melepaskan tembakan amaran bagi menghalang orang awam yang dirujuk ‘suspek’ daripada mendekati mereka, berhampiran koridor Netzarim di tengah Gaza.
Kawasan itu merupakan lokasi rakyat Palestin sering berkumpul setiap malam dengan harapan dapat menghentikan trak bantuan.
Pegawai bantuan di wilayah itu menyifatkan penutupan lintasan Zikim pada Khamis, yang didakwa Israel untuk menghalang Hamas daripada merampas bantuan, sebagai sangat menyulitkan dan memberi kesan langsung terhadap pengagihan bantuan.
Beberapa pusat pengagihan makanan baharu yang diwujudkan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel, terletak di kawasan tengah serta selatan, iaitu di luar capaian sebahagian besar penduduk di utara.
Tindakan penutupan lintasan pada Khamis dijangka meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Israel, ketika tumpuan kembali terarah kepada keganasan dan krisis kemanusiaan di Gaza, selepas konflik singkat dengan Iran.
Sepanjang 12 hari Israel bertempur dengan Iran, lebih 800 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, sama ada ditembak ketika terdesak mencari makanan atau terbunuh dalam gelombang serangan dan pengeboman.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, yang dikenali sebagai antara pengkritik lantang terhadap tindakan Israel, tampil sebagai pemimpin Eropah paling berpengaruh yang menyifatkan keadaan di Gaza sebagai satu bentuk ‘pembunuhan beramai-ramai’.
Bercakap sebelum sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) di Brussels kelmarin, Sanchez merujuk satu laporan mendapati ‘petunjuk’ Israel melanggar kewajiban hak asasi manusia di bawah perjanjian kerjasama, yang menjadi asas hubungan perdagangan.
Laporan EU itu merujuk kepada sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin, jumlah korban, serangan terhadap wartawan, pemindahan besar-besaran dan kemusnahan yang dicetuskan akibat perang.
Israel dengan tegas menafikan tuduhan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai itu, yang kononnya berasaskan sikap berat sebelah terhadap rejim serta antisemitisme. – AGENSI










