Gempa di Iran cetus spekulasi ujian nuklear

Gempa di Iran cetus spekulasi ujian nuklear

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Gempa bumi kuat dengan magnitud 5.1 dilapor menggegarkan kawasan utara Iran di wilayah Semnan kelmarin, namun bencana itu kini mencetus gelombang spekulasi Teheran mungkin sedang menjalankan ujian senjata nuklear.

Menurut agensi berita Tasnim, gempa tersebut berlaku pada Jumaat kira-kira 27 kilometer (km) ke barat daya bandar Semnan dan berpusat pada kedalaman 10 km di bawah permukaan bumi.

Gelombang spekulasi Teheran mungkin sedang menjalankan ujian senjata nuklear mula tercetus memandangkan gempa itu berlaku berhampiran sebuah bandar yang menempatkan kompleks angkasa dan peluru berpandu milik tentera Iran.

Di kawasan ini terletaknya Pusat Angkasa Semnan dan Kompleks Peluru Berpandu Semnan yang dikendalikan oleh pihak tentera Iran.

Gempa bumi ini berlaku ketika konflik bersenjata antara Israel dan Iran memasuki hari kesembilan, dengan kedua-dua negara terus melancarkan serangan balas.

Pada awal pagi Sabtu, Iran dan Israel sekali lagi saling melancarkan serangan, sehari selepas Teheran mengumumkan tidak akan berunding mengenai program nuklearnya selagi masih berada di bawah ancaman.

Awal pagi ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tenteranya melancarkan serangan udara terhadap tiga tapak nuklear Iran, termasuk di loji Fordow.

Tindakan itu secara tidak langsung menunjukkan AS sudah pun menyertai kempen perang Israel di Iran.

Sementara itu, negara-negara Eropah giat berusaha untuk menghidupkan kembali rundingan damai.

Menurut Agensi berita rasmi IRNA, tiada kemalangan jiwa dilaporkan ketika gempa tersebut dan hanya berlaku kerosakan kecil.

Iran yang sering dilanda konflik, turut dikenali sebagai antara negara yang paling aktif secara seismik di dunia disebabkan kedudukannya di sepanjang jalur seismik Alpine-Himalaya, tempat pertembungan antara plat tektonik Arab dan Eurasia.

Secara purata, Iran mengalami sekitar 2,100 gempa bumi setiap tahun, dengan sekitar 16 daripadanya mencapai magnitud 5.0 atau lebih tinggi.

Dalam tempoh antara tahun 2006 hingga 2015 sahaja, negara itu merekodkan 96,000 kejadian gempa bumi.

Letupan bawah tanah yang berkaitan dengan aktiviti nuklear berpotensi mencetuskan gempa bumi dengan melepaskan tekanan tektonik di sekitar kawasan letupan.

Namun, pakar seismologi mampu membezakan antara letupan buatan dan gempa bumi semula jadi dengan menganalisis gelombang seismik yang direkodkan.

Data seismik yang diperoleh setakat ini menunjukkan gempa bumi kelmarin adalah kejadian semula jadi dan bukannya berpunca daripada sebarang letupan buatan.

Menurut laporan India Today, analisis oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), Organisasi Perjanjian Larangan Ujian Nuklear Menyeluruh (CTBTO) serta pakar seismologi bebas turut menolak spekulasi kejadian ini berpunca daripada ujian nuklear atau aktiviti ketenteraan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN