Dua ahli kumpulan BTS tamat latihan ketenteraan disambut peminat

Dua ahli kumpulan BTS tamat latihan ketenteraan disambut peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHUNCHEON: Dua anggota kumpulan K-pop terkenal dunia, BTS iaitu RM dan V berjaya menamatkan khidmat ketenteraan wajib mereka pada 10 Jun, sekali gus mencetuskan kegembiraan dalam kalangan peminat yang lama menantikan kepulangan idola mereka.

RM dan V merupakan antara empat anggota BTS yang dijadualkan tamat latihan ketenteraan dalam minggu ini.

Dua lagi anggota telah pun tamat lebih awal pada 2024, manakala anggota terakhir, Suga, yang sedang menjalani perkhidmatan alternatif sebagai ejen khidmat sosial, dijangka tamat pada 21 Jun ini.

Ketujuh-tujuh anggota BTS itu menjalani perkhidmatan yang diwajibkan ke atas semua lelaki warga Korea Selatan bawah usia 30 tahun, susulan ketegangan berterusan dengan Korea Utara yang bersenjata nuklear.

BTS mengumumkan berehat sementara daripada aktiviti berkumpulan sejak tahun 2022 bagi membolehkan semua anggotanya menyempurnakan kewajipan negara tersebut.

Walaupun agensi BTS, Hybe mengeluarkan kenyataan meminta peminat agar tidak hadir ke lokasi pelepasan demi keselamatan, ratusan peminat tetap berkumpul di luar dua pangkalan tentera di pinggir Seoul untuk menyambut RM dan V.

“Demi keselamatan artis dan peminat, kami menyeru agar tidak hadir ke lokasi pelepasan,” kata Hybe menerusi platform peminat, Weverse.

Namun, suasana tetap meriah di sekitar pangkalan tentera dengan peminat membawa sepanduk berwarna-warni sebagai tanda sokongan di mana lebih ramai peminat dijangka membanjiri Seoul pada 13 Jun ini sempena BTS Festa, iaitu sambutan ulang tahun penubuhan kumpulan itu.

Kesemua anggota BTS sudah memperbaharui kontrak bersama agensi Hybe pada tahun 2023, dan penganalisis menjangkakan aktiviti reunion bakal diumumkan sejurus Suga menamatkan perkhidmatan.

Langkah itu dijangka memberi lonjakan kepada industri K-pop, khususnya Hybe di mana saham syarikat itu dilaporkan meningkat 10 peratus dalam tempoh seminggu sehingga 9 Jun, meskipun sedang disiasat pihak berkuasa berhubung dakwaan perdagangan orang melibatkan pengerusinya.

Sebelum menjalani latihan ketenteraan, BTS menyumbang lebih 5.5 trilion won (RM17.9 bilion) setahun kepada ekonomi Korea Selatan, atau kira-kira 0.2 peratus daripada keseluruhan KDNK negara itu, menurut Institut Budaya dan Pelancongan Korea.

Hybe memberi bayangan tentang kemungkinan kemunculan semula BTS pada tahun ini, namun turut menekankan para anggota memerlukan masa untuk persiapan. —AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN