Bomoh rawat pesakit guna bisa ular berbisa - Utusan Malaysia

Bomoh rawat pesakit guna bisa ular berbisa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SURIAGAO DEL NORTE: Seorang lelaki warga Filipina yang dikenali sebagai Datu Kamandag dalam kalangan suku kaum Manobo di Mindanao, Filipina kini mencetuskan kontroversi apabila menawarkan rawatan kesihatan melalui gigitan ular berbisa.

Rosalio Culit, yang menggelarkan dirinya sebagai penyembuh tradisional, telah lebih sedekad menggunakan bisa ular jenis North Philippine temple pit viper (Tropidolaemus subannulatus) untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

Rosalio mendakwa menemui khasiat bisa ular secara tidak sengaja selepas digigit salah seekor ular peliharaannya beberapa tahun lalu di mana ketika itu, beliau sedang menderita beberapa penyakit tetapi mendakwa kesihatannya pulih hanya beberapa hari selepas gigitan berlaku dan sejak itu, Culit berpegang teguh bisa ular tersebut mempunyai kuasa penyembuhan.

Culit, yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Datu Kamandag’ (ketua bisa), baru-baru ini menjadi tular selepas satu rakaman video oleh RT memaparkan kaedah rawatan luar biasanya namun, menurut laporan GMA Network pada tahun 2014, beliau telah lama menjalankan rawatan tersebut dan memiliki sejumlah ular berbisa yang berkeliaran bebas di dalam rumahnya.

Menurut laporan tersebut, pesakit yang datang terdiri daripada mereka yang menghidap penyakit seperti masalah jantung dan jangkitan saluran kencing serta sanggup digigit oleh ular peliharaan Datu Kamandag kerana percaya kepada keberkesanan rawatannya.

Selain itu, beliau turut menyediakan arak terfermentasi yang dicampur dengan bisa ular dan diberikan kepada pesakit sebagai sebahagian daripada rawatan alternatifnya.

Walaupun dakwaan tersebut mendapat perhatian, pakar kesihatan menegaskan tiada bukti saintifik menunjukkan bisa ular Tropidolaemus subannulatus mampu menyembuhkan penyakit malah, penggunaannya boleh mendatangkan risiko, terutamanya kepada individu yang mempunyai alahan terhadap racun tersebut.

Anak perempuan Datu Kamandag, Jovy Tero, mempertahankan kaedah bapanya dengan menyatakan bahawa ular tersebut adalah “ular selamat” kerana bisanya tidak mematikan dan tidak menyebabkan reput pada bahagian tubuh yang digigit.

Menurutnya, racun ular berkenaan lebih bersifat neurotoksik dengan kandungan hemotoksik yang rendah, menjadikannya “kurang berbahaya” namun, pakar toksikologi memberi amaran menganggap ular tersebut sebagai “selamat” adalah satu dakwaan yang keterlaluan.

Walaupun setakat ini belum ada laporan kematian akibat rawatan itu, para profesional perubatan tetap mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah mempercayai kaedah rawatan yang belum disahkan secara saintifik. —AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN