MEXICO CITY: Seorang bekas peguam kepada ketua kartel dadah Mexico yang kini dipenjara, Joaquin ‘El Chapo’ Guzman, terpilih menjadi hakim di sebuah bandar sempadan dengan Amerika Syarikat (AS), menurut keputusan pilihan raya kehakiman pertama negara itu yang diumumkan semalam.
Silvia Delgado, 51, yang pernah menjadi sebahagian daripada pasukan pembelaan Guzman ketika ditahan di Ciudad Juarez sebelum diekstradisi ke AS pada 2017, dipilih menjadi hakim di bandar yang terkenal dengan jenayah tinggi itu.
Berdasarkan keputusan pilihan raya pada 1 Jun lalu, beliau memperoleh undian kedua tertinggi dalam kalangan lima wanita yang dipilih menganggotai badan kehakiman negeri Chihuahua di utara Mexico bersama lima lagi calon lelaki.
Pencalonan Delgado mencetuskan kontroversi hebat dalam pilihan raya itu yang turut mencipta sejarah apabila Mexico menjadi satu-satunya negara di dunia yang melantik kesemua hakim dan majistret melalui proses undian rakyat.
Namun, beliau menegaskan penglibatannya sebagai peguam kepada tokoh jenayah terbesar negara itu tidak menjadikannya seorang penjenayah.
“Setiap individu berhak mendapatkan pembelaan guaman,” katanya sambil menekankan pengalaman luasnya dalam bidang perundangan ketika berkempen mendapatkan sokongan pengundi.
Delgado turut tersenarai antara kira-kira 20 calon yang dianggap ‘berisiko tinggi’ terhadap kewibawaan badan kehakiman oleh kumpulan hak asasi Defensorxs.
Antara tuduhan yang dikaitkan termasuk hubungan dengan kartel dadah, rasuah serta salah laku seksual. — AFP










