Bekas Ketua Pilihan Raya Bangladesh era Hasina ditahan  - Utusan Malaysia

Bekas Ketua Pilihan Raya Bangladesh era Hasina ditahan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Sebuah mahkamah di Bangladesh pada Isnin memerintahkan tahanan reman terhadap bekas Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya, KM Nurul Huda, 77, selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menipu dalam pilihan raya yang membawa kemenangan bekas pemimpin autokrat, Sheikh Hasina.

Penahanan itu dilakukan sehari selepas sekumpulan orang awam memecah masuk ke rumah Huda dan menyerangnya sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.

Ketika dibawa ke mahkamah, polis meletakkan topi keledar di kepala Huda sebagai langkah keselamatan.

Pada Ahad, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) telah memfailkan kes terhadap Huda dan beberapa bekas pesuruhjaya pilihan raya lain, mendakwa mereka terlibat dalam penipuan pilihan raya yang memihak kepada Hasina semasa tempoh pemerintahannya selama 15 tahun dan berakhir selepas kebangkitan rakyat pada Ogos 2024.

Pemimpin interim, Mohammed Yunus berkata, pilihan raya umum akan diadakan pada awal April 2026, pilihan raya pertama sejak kejatuhan Hasina hasil revolusi yang digerakkan oleh mahasiswa.

Kerajaan sementara Yunus bulan lalu memberi amaran bahawa perebutan kuasa politik boleh menggugat kemajuan yang telah dicapai sambil menegaskan bahawa pilihan raya menjelang pertengahan 2026 akan memberi masa untuk memperkukuh semula institusi demokrasi negara.

Sepanjang pemerintahannya, Sheikh Hasina dituduh melakukan pelbagai pencabulan hak asasi manusia termasuk memanipulasi institusi kehakiman dan perkhidmatan awam serta mengatur pilihan raya yang tidak seimbang.

Hasina, yang kini juga berusia 77 tahun masih berada dalam buangan di India selepas melarikan diri daripada dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan yang dikenakan ke atasnya.

Perbicaraan beliau secara in absentia kini sedang berlangsung. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×