WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tentera negara ini melancarkan serangan udara terhadap tiga tapak nuklear Iran, termasuk di loji Fordow.
Tindakan itu secara tidak langsung menunjukkan AS sudah pun menyertai kempen perang Israel di Iran.
“Kami sudah berjaya melancarkan serangan udara di tiga pusat kemudahan nuklear Iran termasuk di Fordow, Natanz dan Isfahan.
“Bom dalam kapasiti penuh digugurkan di Fordow dan pesawat perang kami juga sudah selamat keluar dari ruang udara Iran,” kata Trump dalam Truth Social.
Pengumuman itu dibuat hanya dua hari selepas Trump menyatakan beliau akan membuat keputusan dalam tempoh dua minggu sama ada akan menyertai sekutu utamanya, Israel, dalam menyerang Iran.
Semalam, terdapat laporan mengenai pesawat pengebom B-2 milik AS yang membawa bom bunker buster berlepas dari negara itu..
Trump tidak menyatakan jenis pesawat atau senjata yang digunakan oleh AS untuk menyerang tapak nuklear Iran.
Teheran sebelum ini mengancam akan membalas terhadap pasukan AS di Asia Barat sekiranya Trump melancarkan serangan, namun Presiden AS itu menyeru kepada ‘perdamaian’. – AFP










