AS sebenarnya lagi zalim dari Israel

AS sebenarnya lagi zalim dari Israel

PROTES penunjuk perasaan yang menyokong rakyat Palestin menjelang mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di luar ibu pejabat di New York City, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Ketika banyak negara menolak kekejaman Israel dan menyatakan sokongan kepada Palestin, Amerika Syarikat (AS) pula bertindak sebaliknya apabila teguh menyokong Zionis walaupun jelas rejim itu melakukan jenayah kemanusiaan di Gaza.

Sikap Washington yang masih ‘buta’ terhadap kesengsaraan rakyat Gaza, menjadikan ia satu-satunya negara ‘berdiri di luar saf’ dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Buat kali kelima, negara itu sekali lagi memveto draf resolusi UNSC yang menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal dilaksanakan di Gaza, ketika Israel semakin agresif menyerang wilayah Palestin itu sehingga mengorbankan hampir 100 rakyatnya dalam tempoh 24 jam.

AS merupakan satu-satunya negara yang mengundi menentang usul tersebut pada Rabu, manakala 14 anggota majlis yang lain menyokong.

Walaupun resolusi itu turut menuntut pembebasan tebusan Israel di Gaza, AS tetap menolaknya dengan alasan permintaan gencatan senjata tidak disertakan syarat jelas berkaitan pembebasan tahanan.

Dalam kenyataan sebelum proses pengundian bermula, Duta Sementara AS ke PBB, Dorothy Shea, secara jelas menyatakan penentangan negaranya terhadap resolusi yang dikemukakan oleh 10 daripada 15 negara anggota UNSC.

“Sejak konflik bermula, AS mengambil pendirian yang sangat jelas bahawa Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri, termasuk menewaskan Hamas dan memastikan kumpulan itu tidak lagi berupaya mengancam Israel,” katanya kepada UNSC.

Duta China, Fu Chong berkata, tindakan Israel ‘melampaui setiap garis merah’ dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan secara serius melanggar resolusi PBB.

“Namun, disebabkan perlindungan oleh satu negara, pelanggaran itu tidak dihentikan dan dipertanggungjawabkan,” katanya.

SEKATAN KEJAM

Walaupun terdapat desakan global untuk gencatan senjata, Israel berulang kali menolak gesaan untuk menamatkan perang tanpa syarat atau kekal, dengan menegaskan Hamas tidak boleh terus berkuasa di Gaza.

Israel memperluaskan serangan menyebabkan ribuan rakyat Palestin terbunuh dan cedera, serta mengekalkan sekatan kejam terhadap wilayah yang kini bergelut dengan kebuluran.

Sekurang-kurangnya 95 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh pada Rabu dan lebih 440 yang lain cedera, menurut pegawai kesihatan di Gaza.

Menjelang pengundian di UNSC, Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, sekali lagi merayu agar organisasi itu dan kumpulan bantuan lain dibenarkan membantu penduduk Gaza.

“Buka semua lintasan sempadan, benarkan kemasukan bantuan yang menyelamatkan nyawa secara besar-besaran.

“Hapuskan sekatan terhadap jenis dan jumlah bantuan yang boleh kami bawa masuk. Pastikan konvoi kami tidak ditangguh atau dihalang,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengagihan bantuan makanan kepada rakyat Gaza kini dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), yang dilantik Israel dan disokong AS.

Proses baharu pengagihan bantuan, yang ketika ini terhad di tiga lokasi, menerima kritikan meluas daripada kumpulan hak asasi manusia dan PBB, yang menyifatkannya tidak mematuhi prinsip kemanusiaan.

Mereka turut mengkritik model pengagihan bantuan tersebut kerana melibatkan pekerja keselamatan dan logistik swasta dari AS, yang menurutnya mengubah bantuan kemanusiaan menjadi operasi bersifat ketenteraan.

SOKONGAN ISRAEL MEROSOT

Menurut tinjauan terbaharu YouGov, sokongan awam untuk Israel di Eropah Barat merosot ke paras terendah dalam rekod.

Ia sekali gus membuktikan perubahan besar dalam sentimen awam, apabila kurang satu daripada lima responden di enam negara Eropah memberikan pandangan positif terhadap Israel.

Trend itu turut dilihat di AS, di mana sikap terhadap Israel juga semakin negatif.

Berdasarkan tinjauan YouGov Eurotrack yang dijalankan antara 12 hingga 26 Mei di Britain, Perancis, Jerman, Denmark, Sepanyol dan Itali, simpati orang kini jelas berpihak kepada Palestin.

Di UK, 32 peratus responden menyatakan simpati terhadap Palestin, berbanding hanya 14 peratus untuk Israel, dengan pola sama dilihat di Perancis, Jerman, Denmar, Sepanyol serta Itali.

Data tersebut menunjukkan penolakan yang jelas dan konsisten terhadap naratif Israel dan penerimaan meluas kepada perspektif Palestin.

Ia turut mencerminkan kemarahan yang semakin meningkat terhadap pengeboman tanpa henti Israel di Gaza, sehingga mengorbankan lebih 54,000 rakyat Palestin kebanyakan wanita dan kanak-kanak.

Kesedaran awam terhadap perspektif rakyat Gaza juga menunjukkan peningkatan ketara, bahkan dalam kalangan individu yang mungkin tidak sepenuhnya menyokong perjuangan Palestin.

Penentangan terhadap Israel turut berkembang di seberang Atlantik, dengan tinjauan Pusat Penyelidikan Pew mendapati lebih separuh rakyat Amerika (53 peratus), kini mempunyai pandangan negatif terhadap Israel.

Satu lagi tinjauan Data for Progress menunjukkan 51 peratus pengundi AS menentang rancangan Israel untuk menghantar lebih ramai tentera ke Gaza, dan jumlah sama percaya Presiden Donald Trump sepatutnya menuntut gencatan senjata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN