AS lulus rang undang-undang pertama kawal selia mata wang kripto

AS lulus rang undang-undang pertama kawal selia mata wang kripto

DONALD Trump berusaha merombak dasar mata wang kripto AS selepas menerima sokongan kewangan daripada industri tersebut sepanjang kempen pilihan rayanya.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) meluluskan rang undang-undang dwipartisan pertama berkaitan kawal selia mata wang kripto dikenali sebagai Akta Genius, selepas berbulan-bulan rundingan dan perdebatan antara penyokong daripada parti Demokrat dan Republikan.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan undian 68 menyokong berbanding 30 menentang, menyaksikan 18 ahli Demokrat menyatakan sokongan, manakala dua ahli Republikan memilih untuk menolak dan kini akan dibawa ke Dewan Perwakilan untuk pertimbangan lanjut. 

Ketua Whip Majoriti Dewan, Tom Emmer menggesa Jawatankuasa Perkhidmatan Kewangan Dewan untuk mempercepatkan penggubalan undang-undang berkaitan stablecoin sebelum akhir Julai ini.

Akta tersebut bertujuan mengawal selia stablecoin, sejenis mata wang kripto yang nilainya dipautkan kepada dolar AS. 

Meskipun terdapat kesepakatan umum di Capitol Hill mengenai keperluan untuk mengawal selia stablecoin, perundangan ini mencetuskan perbalahan dalam kalangan ahli Demokrat, khususnya berikutan kebimbangan terhadap penglibatan Presiden, Donald Trump dalam urus niaga mata wang kripto.

Tokoh utama Demokrat dalam Jawatankuasa Perbankan Senat, Senator Elizabeth Warren lantang menyuarakan akta tersebut tidak meletakkan kawalan yang mencukupi dan mendakwa ia berpotensi menjadi pemangkin kepada amalan rasuah.

Bagaimanapun, Senator Republikan, Bill Hagerty yang juga antara pencetus utama akta ini, mempertahankan perundangan tersebut bersifat neutral tanpa menyebelahi mana-mana individu mahupun syarikat.

“Ini adalah tentang meletakkan AS pada landasan terbaik dalam sistem pembayaran digital,” katanya kepada wartawan di Capitol pada Mei lalu.

Rang undang-undang itu sebelum ini gagal digerakkan di Senat selepas ahli Demokrat enggan memberi sokongan kerana isu berkaitan urus niaga kripto Trump. 

Namun, draf pindaan baharu hasil rundingan dwipartisan berjaya meraih sokongan mencukupi untuk membolehkan akta tersebut diluluskan. — AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×