WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump giat menghalang kerajaan-kerajaan dunia daripada menyertai satu persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu hadapan yang bertujuan merintis penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.
Negara-negara yang menyokong tindakan ‘anti-Israel’ selepas sidang itu akan dianggap bertindak bertentangan dengan kepentingan dasar luar AS dan boleh berdepan tindakan diplomatik daripada Washington.
Langkah ini bercanggah secara langsung dengan pendirian dua sekutu rapat AS iaitu Perancis dan Arab Saudi, yang menjadi penganjur bersama persidangan tersebut yang dijadual berlangsung di New York.
Persidangan itu dilaporkan bertujuan membentangkan rangka pelan damai ke arah penubuhan negara Palestin dengan jaminan keselamatan buat Israel.
“Kami menggesa kerajaan-kerajaan agar tidak mengambil bahagian dalam persidangan ini kerana ia dilihat mengganggu usaha penting yang sedang berjalan untuk menamatkan peperangan di Gaza dan membebaskan tebusan,” menurut desakan itu.
Menurutnya, AS menolak sebarang langkah yang secara unilateral mengiktiraf negara Palestin secara hipotetikal kerana ia hanya akan menambah halangan dari segi undang-undang dan politik terhadap penyelesaian konflik serta dilihat memberi tekanan ke atas Israel ketika sedang berperang.
Desakan diplomatik tersebut turut menyebut pengiktirafan unilateral terhadap negara Palestin akan menyebabkan ‘7 Oktober dijadikan Hari Kemerdekaan Palestin’, merujuk kepada serangan mengejut oleh kumpulan pejuang Hamas terhadap Israel pada tahun Oktober 2023.
Susulan serangan itu, Israel melancarkan perang udara dan darat di Gaza yang mengorbankan hampir 55,000 rakyat Palestin, memaksa majoriti daripada 2.3 juta penduduknya berpindah dan menyebabkan wilayah itu hampir musnah sepenuhnya.
“Persidangan ini menggugat rundingan halus ini dan memberi semangat kepada Hamas pada masa kumpulan itu menolak cadangan yang telah pun diterima oleh Israel,” kata dokumen desakan tersebut.
Minggu ini, United Kingdom, Australia dan Kanada menyertai beberapa negara lain mengenakan sekatan ke atas dua menteri kanan sayap kanan Israel sebagai tekanan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya menamatkan perang di Gaza.










