Trump umum AS, UK meterai perjanjian perdagangan 'bersejarah' - Utusan Malaysia

Trump umum AS, UK meterai perjanjian perdagangan ‘bersejarah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam mengumumkan AS dan United Kingdom (UK) berjaya mencapai perjanjian perdagangan yang disifatkannya sebagai ‘bersejarah’.

“Pagi ini (semalam), saya mengumumkan kami mencapai perjanjian perdagangan yang penting dengan UK,” kata Trump di Rumah Putih.

Beliau berkata, ia adalah yang pertama dalam siri perjanjian perdagangan dirundingkan pentadbirannya sejak empat minggu lalu.

“Dengan perjanjian ini, UK bersama AS mengesahkan prinsip timbal balik dan keadilan adalah teras penting dalam perdagangan antarabangsa,” katanya.

Trump memaklumkan UK akan mengurangkan pelbagai halangan bukan tarif yang sebelum ini dianggap mendiskriminasi produk AS.

Sementara itu Perdana Menteri UK, Keir Starmer yang menyertai secara maya, menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai ‘hari sangat hebat dan bersejarah.’

“Saya rasa ini adalah satu penghormatan terhadap sejarah kerjasama erat antara negara kita… perjanjian yang sangat penting.

“Ini akan meningkatkan perdagangan dua hala, bukan saja melindungi pekerjaan tetapi turut mencipta peluang kerja dan membuka akses pasaran,” katanya.

Anadolu melaporkan Trump mengesahkan keluli adalah ‘faktor besar’ dalam perjanjian itu, yang menurutnya akan mengukuhkan ekonomi kedua-dua negara.

Beliau turut mendedahkan bahan kimia dan jentera keluaran AS telah dimasukkan ke dalam perjanjian itu.

Walaupun beberapa butiran teknikal akhir masih dalam rundingan, Trump berkata, perjanjian asas telah dimuktamadkan.

Beliau menggambarkan perjanjian itu sebagai lebih daripada sekadar pakatan perdagangan, dengan menyatakan ia akan membawa UK ke dalam ‘penjajaran keselamatan ekonomi bersama AS’ yang disifatkannya sebagai ‘jaminan keselamatan ekonomi yang besar.’

Ketika ini, kebanyakan barangan UK yang diimport AS dikenakan tarif sekitar 10 peratus, manakala kadar lebih tinggi dikenakan ke atas kereta, keluli dan aluminium.

UK pula turut mengenakan tarif ke atas pelbagai produk AS serta melaksanakan cukai perkhidmatan digital yang telah lama menjadi isu kepada syarikat teknologi Amerika.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN