WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membuat pelan untuk memindahkan sekurang-kurangnya sejuta rakyat Palestin di Semenanjung Gaza ke Libya secara tetap.
Perkara tersebut dilaporkan oleh portal berita NBC News yang memetik sumber daripada lima individu berkaitan pelan terbabit.
Pelan pemindahan itu disifatkan sebagai ‘serius dan kekal’ dengan Washington dilaporkan sudah mengadakan perbincangan dengan kepemimpinan Libya.
Sebagai pertukaran untuk memindahkan penduduk Palestin ke Libya, pentadbiran Trump akan menyalurkan semula dana berbilion dolar yang dibekukan AS sejak lebih sedekad lalu.
PENGAKUAN MICROSOFT
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat perisian Microsoft mengakui mereka menjual perkhidmatan perisikan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada tentera Israel untuk berperang di Gaza.
Namun, syarikat itu memberitahu, bantuan berkenaan hanya untuk mengesan lokasi tebusan yang ditahan kumpulan pejuang Hamas dan bukannya untuk membunuh atau menyakiti penduduk Gaza.
Pendedahan itu dibuat selepas hampir tiga bulan The Associated Press melakukan siasatan mengenai penglibatan Microsoft dalam perang Israel di Gaza.
Siasatan AP mendapati terdapat banyak maklumat yang tidak dilaporkan mengenai kerjasama Microsoft dengan Kementerian Pertahanan Israel dengan penggunaan AI oleh ketenteraan negara haram itu meningkat hampir 200 kali ganda sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023.
AP melaporkan, Israel menggunakan perisian Azure untuk menterjemah dan memproses maklumat perisikan melalui pemantauan menyeluruh.
ENGGAN KOMEN LANJUT
Microsoft juga enggan memberikan butiran lanjut mengenai penggunaan teknologinya oleh ketenteraan Zionis, selain tidak mahu menjawab soalan AP tentang bagaimana AI yang disediakannya boleh membantu Israel melancarkan serangan yang menyasarkan penduduk awam di Gaza.
Syarikat perisian itu juga mengakui mereka menyediakan ‘akses teknologi khas yang melebihi perjanjian komersial’ kepada Israel dalam misi menyelamatkan tebusan.
Microsoft menyatakan seperti pihak lain, tentera Israel juga tertakluk kepada polisi yang ditetapkan, dan melarang ia digunakan untuk tujuan salah.
PENYELESAIAN DUA NEGARA
Liga Arab kelmarin mengesahkan satu sidang kemuncak antarabangsa mengenai penyelesaian dua negara untuk Palestin bakal diadakan pada bulan depan dengan dipengerusikan oleh Perancis dan Arab Saudi.
“Sidang kemuncak untuk mengiktiraf negara Palestin akan diadakan pada 17 hingga 20 Jun,” kata Pembantu Setiausaha Agung Liga Arab, Hossam Zaki dalam sidang akhbar di Baghdad tanpa mendedahkan lokasi acara itu bakal diadakan.
Katanya, sidang kemuncak itu bertujuan melaksanakan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini dan memeterai persetujuan penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.










