ISLAMABAD: Tentera Pakistan menembak jatuh 25 dron milik India di beberapa lokasi berbeza yang turut menyebabkan seorang penduduk awam terbunuh dan empat anggota tentera cedera.
Kejadian itu berlaku sehari selepas konflik terburuk dalam tempoh 20 tahun tercetus antara dua negara Asia Selatan yang memiliki senjata nuklear itu.
“Malam tadi, India sekali lagi melakukan pencerobohan dengan menghantar dron ke beberapa lokasi.
“Seorang penduduk awam maut di kawasan Miano akibat serangan tersebut, dan operasi masih diteruskan bagi menjatuhkan baki dron lain yang masih berada di ruang udara,” kata jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry.
Sejak awal pagi, orang ramai mula berkumpul di kawasan sekitar Punjab dan Sindh untuk melihat sisa-sisa bangkai dron yang bertaburan di tanah.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan memaklumkan lapangan terbang di Islamabad, Karachi dan Lahore ditutup sementara atas tujuan keselamatan.-AFP