‘Masjid dipenuhi kayu balak, kami sukar solat berjemaah’

‘Masjid dipenuhi kayu balak, kami sukar solat berjemaah’

SEORANG lelaki merakam gambar sebuah sekolah pondok yang terjejas akibat banjir besar dari atas timbunan kayu balak di Aceh Tamiang, Sumatera Utara. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ACEH TAMIANG: Hampir dua minggu selepas banjir besar melanda wilayah Sumatera, ratusan penduduk Islam di Aceh Tamiang berdepan kesukaran menunaikan solat secara berjemaah.

Hal ini kerana sebuah masjid di kawasan itu dipenuhi timbunan besar pokok dan kayu balak yang dihanyutkan arus deras banjir.

Masjid Al Ihsan yang sebelum ini menjadi tumpuan penduduk dan pelajar sekolah pondok kini tidak lagi dapat digunakan selepas hujan lebat luar biasa menyebabkan hutan berhampiran ditenggelami banjir dan ribuan batang pokok tercabut lalu tersangkut di kawasan masjid.

Seorang penduduk tempatan, Angga, 37, berkata penduduk tidak mengetahui dari mana datangnya kayu-kayu tersebut, namun percaya ia dihanyutkan dari kawasan hutan berhampiran yang terjejas teruk akibat banjir kilat.

Menurutnya, sebelum bencana, masjid berkenaan sentiasa dipenuhi jemaah untuk solat lima waktu dan solat Jumaat, namun kini kawasan sekitarnya berubah menjadi tanah mati selepas sungai berhampiran lenyap akibat arus deras.

Penduduk kampung memaklumkan struktur masjid itu dipercayai telah menahan sebahagian besar impak kayu balak dan pokok tumbang, sekali gus mengurangkan kemusnahan lebih besar di kawasan hilir.

Setakat Jumaat, angka korban akibat satu daripada bencana terburuk di Sumatera Utara itu meningkat kepada 1,000 orang, dengan 226 masih hilang dan hampir 890,000 penduduk terpaksa dipindahkan, menurut Agensi Mitigasi Bencana Nasional Indonesia.

Pihak berkuasa menyalahkan pembalakan tidak terkawal sebagai antara punca skala kemusnahan, manakala Presiden Prabowo Subianto menyeru perlindungan hutan dipertingkatkan.

Beliau juga memberi jaminan kerajaan akan memulihkan keadaan, walaupun mangsa banjir terus meluahkan kekecewaan terhadap kelewatan bantuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN