Rumah Putih henti proses visa pelajar antarabangsa

Rumah Putih henti proses visa pelajar antarabangsa

PENUNJUK perasaan memegang plakad semasa perhimpunan Harvard Students for Freedom, sebagai sokongan kepada pelajar antarabangsa di kampus Universiti Harvard di Boston, Massachusetts, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, mengarahkan pemprosesan visa pelajar dihentikan, dalam langkah terbaharu menyasarkan pelajar asing di negara itu.

Rumah Putih kini memperketat tindakan terhadap pelajar asing di universiti AS, termasuk membatalkan visa dan mengusir mereka yang terlibat dalam protes perang di Gaza, dengan menuduhnya menyokong kumpulan pejuang Hamas.

Sebelum ini, Rubio membatalkan ratusan visa, manakala pentadbiran Presiden Donald Trump turut memgambil langkah menghalang Universiti Harvard daripada menerima pelajar bukan warga Amerika.

Menurut laporan AFP, Rubio mengarahkan kedutaan dan konsulat supaya tidak membenarkan sebarang temu janji baharu untuk visa pelajar atau pertukaran sehingga arahan lanjut dikeluarkan.

Kerajaan turut merancang untuk mempertingkat tapisan terhadap profil media sosial pemohon antarabangsa yang ingin memasuki universiti di AS.

Langkah itu diumumkan ketika pelajar Harvard mengadakan protes susulan kenyataan kerajaan untuk membatalkan semua kontrak kewangan yang masih berbaki dengan universiti elit tersebut.

Ratusan pelajar berhimpun bagi membantah tindakan Trump terhadap Universiti Harvard, termasuk pembatalan semua kontrak kewangan Persekutuan pada Selasa melibatkan kira-kira AS$100 juta (RM424 juta).

Trump dikatakan bertindak demikian selepas Harvard enggan menyerahkan kawalan terhadap kurikulum, kemasukan pelajar dan penyelidikan.

Sementara itu, Rumah Putih terus mempertahankan tindakannya dengan menegaskan wang awam sepatutnya disalurkan kepada sekolah vokasional yang melatih juruelektrik dan tukang paip.

“Presiden lebih berminat untuk menyalurkan wang pembayar cukai kepada sekolah kemahiran dan program negeri yang memupuk nilai Amerika, paling penting mendidik generasi akan datang dengan kemahiran diperlukan ekonomi serta masyarakat,” kata jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt dalam siaran di Fox News, kelmarin.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN