LONDON: Berdasarkant satu kajian terbaharu membabitkan 50,000 orang dari 20 buah negara, Perancis dinobatkan sebagai negara yang rakyatnya paling cukup tidur di dunia, dengan purata masa tidur selama tujuh jam 52 minit setiap malam.
Kajian yang diterbitkan dalam Proceedings of the National Academy of Sciences itu turut mendedahkan rakyat Britain berada di tangga kelima paling cukup tidur, dengan purata tujuh jam 33 minit setiap malam, manakala Jepun berada di tangga tercorot apabila rakyatnya hanya tidur selama purata enam jam 17 minit, satu perbezaan lebih satu setengah jam berbanding rakyat Perancis, bersamaan lebih 40 jam dalam sebulan.
Apa yang mengejutkan, meskipun rakyat negara Asia tidur lebih sedikit, kajian mendapati tiada bukti kukuh menunjukkan mereka lebih tidak sihat berbanding mereka yang tidur lebih lama.
Kajian turut mendapati negara Eropah dan Australia merekodkan tempoh tidur yang lebih panjang. Belanda berada di tempat kedua selepas Perancis dengan purata tujuh jam 45 minit, diikuti Belgium (7 jam 41 minit) dan New Zealand (7 jam 40 minit).
Negara Asia pula mencatatkan tempoh tidur paling pendek dengan Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan Singapura tidur kurang daripada tujuh jam setiap malam secara purata.
Menariknya, kadar tidur yang rendah tidak semestinya berkaitan dengan kesihatan yang buruk.
Kajian tidak menemui kaitan ketara antara kurang tidur dengan jangka hayat, penyakit jantung atau kencing manis malah, negara yang rakyatnya tidur lebih sedikit juga mencatat obesiti lebih rendah menimbulkan persoalan sama ada keperluan tidur sebenarnya ditentukan oleh faktor budaya dan bukannya biologi.
Sebagai contoh, budaya Perancis amat menitikberatkan rehat yang cukup, manakala budaya Jepun lebih mengutamakan etika kerja dan kesungguhan sehingga mewujudkan fenomena inemuri, iaitu tidur di tempat kerja atau di tempat awam akibat keletihan melampau.