Politik Korea Selatan makin kacau, PPP tukar calon Presiden saat akhir

Politik Korea Selatan makin kacau, PPP tukar calon Presiden saat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Parti konservatif Korea Selatan bertindak menggugurkan calon Presidennya, Kim Moon Soo tanpa kerelaannya dan memulakan proses menggantikan beliau dengan bekas Perdana Menteri, Han Duck Soo kurang sebulan sebelum Pilihan Raya Presiden berlangsung 3 Jun ini.

Pilihan raya ini akan menentukan pengganti Yoon Suk Yeol, yang disingkirkan daripada jawatan Presiden selepas mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember hingga mencetuskan kemelut politik yang berpanjangan di negara itu.

Parti Kuasa Rakyat (PPP) pimpinan Suk Yeol awalnya memilih Moon Soo yang juga bekas Menteri Buruh selepas beliau memenangi pemilihan dalaman parti minggu lalu.

Namun, pada Sabtu, parti itu mengumumkan pencalonan Moo Soo dibatalkan.

Sebaliknya, PPP memilih Duck Soo, yang sebelum ini bertanding secara bebas, sebagai calon baharu mereka dan beliau turut menyertai parti itu secara rasmi pada hari sama.

Pemimpin sementara PPP, Kwon Young Se berkata, parti itu memerlukan calon yang lebih berdaya saing untuk mewakili PPP secara rasmi

Keputusan kontroversi PPP itu dilihat sebagai usaha mengelak perpecahan undi antara Moon Soo dan Duck Soo yang boleh melemahkan peluang parti itu, ketika calon liberal utama, Lee Jae Myung daripada Parti Demokratik, terus mendahului dalam tinjauan pendapat.

Pencalonan Duck Soo dijangka dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan pada Ahad.

Moon Soo, 73, menyifatkan keputusan parti menggugurkannya sebagai tidak sah, malah berikrar untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Parti ini secara tidak sah membatalkan pencalonan saya walaupun saya sudah dipilih secara sah oleh kehendak rakyat dan ahli parti,” katanya kepada media.

Parti Demokratik turut mengecam tindakan PPP, menyifatkannya sebagai satu penipuan terhadap semua pesaing dalam pemilihan parti konservatif itu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN