BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra menafikan dakwaan lawatannya baru-baru ini ke United Kingdom dan Monaco adalah bersifat peribadi serta dibiayai menggunakan wang pembayar cukai.
Pemimpin berusia 37 tahun itu menjelaskan lawatan berkenaan bukan percutian peribadi seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Paetongtarn yang berasal dari Bangkok itu turut mengulas mengenai status bapanya, Thaksin Shinawatra, yang dijadualkan hadir ke Mahkamah Agung Bahagian Jenayah bagi Pemegang Jawatan Politik pada 13 Jun ini, berhubung isu penahanan beliau di Hospital Besar Polis.
“Saya tidak pasti sama ada beliau akan hadir secara fizikal, tetapi saya percaya tidak seharusnya ada sebarang halangan,” ujar beliau.
Ditanya sama ada Thaksin telah meninggalkan Thailand, beliau menafikan khabar angin tersebut.
Paetongtarn turut menolak dakwaan kononnya lawatan beliau ke UK bertujuan membantu Thaksin melarikan diri ke luar negara.
Mengulas mengenai segala kontroversi yang melanda, beliau menegaskan ia langsung tidak menjejaskan fokus beliau sebagai perdana menteri.
“Tidak langsung. Semua ini tidak benar, jadi tidak memberi kesan kepada saya. Saya masih komited untuk bekerja keras. Sekarang ini saya hanya sedikit letih kerana perbezaan waktu dan masih jet lag, tetapi saya akan menaiki penerbangan lagi tidak lama lagi,” katanya.
Sebagai penutup, Paetongtarn menyatakan kesediaannya untuk memberikan penjelasan kepada rakyat jika timbul sebarang kekeliruan.
“Kalau ada perkara yang rakyat tidak selesa dan saya boleh jelaskan, saya akan berbuat demikian. Kalau saya tak dapat jawab terus, saya akan cari maklumat dahulu,” ujarnya lagi. -AGENSI










