CILACAP: Sebuah pulau penjara yang digelar sebagai “Alcatraz Indonesia” terus menjadi mimpi ngeri bagi lebih 1,500 banduan yang menanti hukuman mati.
Pulau Nusakambangan, terletak di pesisir Cilacap, Jawa Tengah, menempatkan beberapa kompleks penjara paling ketat di republik itu, termasuk penjara Narkotika dan Karanganyar yang terkenal dengan layanan keras serta pelanggaran hak asasi manusia yang berleluasa.
Menurut peguam hak asasi manusia, Ricky Gunawan, yang pernah mewakili banduan hingga ke saat akhir hayatnya, mereka yang dihukum mati hanya diberi tempoh tiga hari sebelum dilaksanakan hukuman tembak sampai mati di kawasan hutan pulau itu.
“Dalam tempoh 72 jam terakhir itu, mereka diletakkan dalam sel pengasingan tanpa akses bebas kepada peguam atau keluarga. Itu waktu paling menyeksakan dari sudut mental dan emosi,” katanya.
Sementara itu, menurut Yosua Octavian dari Lembaga Bantuan Hukum (LBH) Indonesia, semua anak guamnya yang pernah dipindahkan ke pulau itu mengakui pengalaman di sana adalah paling buruk dalam hidup mereka.
“Mereka digari kaki dan tangan, malah ada yang ditutup mukanya dengan kain hitam sepanjang perjalanan ke sana. Penjaga pula lengkap bersenjata automatik. Suasananya sangat menakutkan,” jelasnya.
Kondisi penjara pula amat uzur di mana makanan yang diberi hanya berupa nasi dalam kuantiti kecil, malah ada banduan melaporkan kehilangan berat badan sehingga 20 kilogram dalam masa tiga bulan akibat keracunan makanan.
Banduan yang ingin layanan lebih baik, termasuk makanan lebih berzat atau sel bersendirian, dilaporkan boleh ‘membeli kemudahan’ tersebut dengan sogokan kepada pegawai penjara.
Pulau Nusakambangan tidak hanya terkenal sebagai lokasi hukuman mati, tetapi juga dengan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap banduan dimana pada tahun 2019, rakaman video tular menunjukkan banduan diheret dalam keadaan bergari oleh pengawal penjara hingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Sehingga hujung tahun lalu, Komisi untuk Orang Hilang dan Korban Tindak Kekerasan (KontraS) merekodkan 530 banduan dalam senarai hukuman mati di Indonesia, termasuk 88 orang asing.










