PBB beri amaran 'Nakba kedua' di wilayah Palestin

PBB beri amaran ‘Nakba kedua’ di wilayah Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Sebuah jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran dunia mungkin sedang menyaksikan satu lagi peristiwa pengusiran besar-besaran rakyat Palestin sama seperti bencana Nakba, perpindahan paksa yang berlaku pada 1948.

Jawatankuasa khas PBB yang menyiasat amalan Israel terhadap hak rakyat Palestin berkata, rejim itu melakukan pembersihan etnik secara terang-terangan dan menyebabkan penderitaan yang tidak terbayang ke atas rakyat Palestin.

“Israel terus menyebabkan penderitaan yang tidak terbayang kepada penduduk yang hidup di bawah penjajahannya, sambil mempercepatkan rampasan tanah sebagai sebahagian daripada cita-cita penjajahan yang lebih luas.

“Apa yang sedang berlaku mungkin merupakan satu lagi Nakba,” kata jawatankuasa itu selepas misi tahunan mereka di Amman.

Semasa perang 1948, sekitar 760,000 rakyat Palestin dipaksa meninggalkan kediaman mereka.

Hari ini, sekitar 160,000 rakyat Palestin masih kekal di wilayah yang diduduki secara haram oleh Israel, membentuk 20 peratus daripada keseluruhan populasi di kawasan itu.

Jawatankuasa Khas PBB untuk Menyiasat Amalan Israel yang Menjejaskan Hak Asasi Rakyat Palestin dan Arab Lain di Wilayah Pendudukan ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada Disember 1968.

Jawatankuasa ini kini dianggotai oleh duta Sri Lanka, Malaysia dan Senegal ke PBB di New York.

Laporan itu turut menegaskan kerajaan Israel menjadikan operasi keselamatan sebagai alasan untuk tindakan yang jauh lebih agresif.

“Operasi keselamatan digunakan sebagai helah untuk merampas tanah dengan cepat, melakukan pemindahan paksa secara besar-besaran, merampas hak milik, merobohkan rumah, melakukan pengusiran paksa dan pembersihan etnik semuanya demi menggantikan komuniti Palestin dengan penempatan penduduk Yahudi,” tambah mereka.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN