CALIFORNIA: Gambar latar belakang sistem operasi Windows XP yang pernah menjadi paparan paling ikonik dalam dunia teknologi kini mengecewakan ramai setelah penampilan lokasi sebenar berubah sama sekali.
Gambar yang dinamakan Bliss itu merakamkan pemandangan bukit hijau terbentang luas di Napa Valley, California, dengan langit biru yang cerah, suatu visual yang pernah menjadi tatapan harian pengguna komputer di seluruh dunia sejak tahun 2001.
Namun, menerusi satu hantaran tular oleh akaun Instagram @insidehistory, para pengguna media sosial kini meluahkan rasa kecewa selepas melihat keadaan terkini kawasan itu yang dikongsi dalam gambar dari tahun 1998 hingga 2025.
Daripada bukit-bukau hijau yang menenangkan, kawasan tersebut kini telah ditukar menjadi ladang anggur yang kelihatan sama sekali berbeza daripada imej asal yang dikenali ramai.
Meskipun ramai menganggap perubahan landskap itu sebagai kehancuran kepada nostalgia silam, tidak kurang juga yang mempertahankan kecantikan baharu kawasan berkenaan.
Menurut @insidehistory, foto tersebut tidak pernah disunting secara digital di mana warna dan ketajaman gambar tersebut adalah asli serta dirakam dengan menggunakan kamera format sederhana.
Foto itu dirakam oleh jurugambar Charles ‘Chuck’ O’Rear pada tahun 1998 ketika dia memandu berhampiran sempadan Napa-Sonoma dan menurut sejarah asalnya, gambar Bliss dirakam selepas ladang anggur di kawasan itu dibersihkan akibat serangan serangga phylloxera dan keadaan itulah yang mencetuskan landskap rumput hijau terbuka tanpa tanaman, seperti yang dilihat dalam gambar asal.
Selepas mengambil gambar tersebut yang diberi nama asal Bucolic Green Hills, O’Rear menjualnya kepada syarikat stok fotografi WestLight, yang kemudian dibeli oleh Corbis Images, sebuah syarikat pemasaran milik pengasas Microsoft, Bill Gates.










