Lembu liar terancam dialihkan dengan bantuan helikopter

Lembu liar terancam dialihkan dengan bantuan helikopter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Sebuah helikopter berjaya membantu memindahkan 16 ekor banteng yang sangat terancam ke atas sebuah lori di Kemboja buat kali pertama dalam satu operasi konservasi unik dan bersejarah, menurut kumpulan pemuliharaan tempatan.

Banteng merupakan sejenis lembu liar asli Asia Tenggara yang kini dikategorikan sebagai spesies sangat terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

Haiwan ini secara semula jadi mendiami kawasan hutan dan padang rumput namun populasinya di alam liar kini hanya tinggal beberapa ribu ekor sahaja akibat ancaman pemburuan, pembalakan dan pembangunan industri.

Menurut Global Forest Watch, Kemboja kehilangan sekitar 33 peratus kawasan hutannya sejak tahun 2000 susulan dasar kerajaan yang membenarkan pembukaan tanah berskala besar, termasuk di kawasan yang sepatutnya dilindungi.

Kumpulan konservasi Rising Phoenix dan Siem Pang memaklumkan, 16 ekor banteng yang ditemui di hutan digiring selama tiga hari menggunakan perangkap corong sebelum dipindahkan ke sebuah kawasan perlindungan hidupan liar.

Buat julung kalinya, sebuah helikopter digunakan untuk membantu mengarahkan haiwan liar itu melalui laluan corong khas dalam operasi yang dijalankan di Siem Pang, timur laut Kemboja.

Menurut kenyataan kumpulan tersebut, kejayaan operasi ini membuka jalan kepada usaha pemindahan seterusnya bagi banteng yang terperangkap di kawasan hutan terpencil lain di seluruh negara.

Mereka turut menegaskan banteng-banteng tersebut kini akan terus dipantau dan dilindungi di Santuari Hidupan Liar Siem Pang.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN