Lelaki Thailand ditahan cuba seludup anak orang utan

Lelaki Thailand ditahan cuba seludup anak orang utan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Polis Thailand menahan seorang lelaki yang disyaki menyeludup dua ekor anak orang utan ke dalam negara itu, dalam satu kes yang dikaitkan dengan rangkaian penyeludupan hidupan liar antarabangsa.

Suspek berusia 47 tahun itu ditahan pada petang Rabu di sebuah stesen minyak di kawasan perumahan Bangkok ketika sedang bersiap untuk menyerahkan haiwan tersebut kepada pelanggan.

Menurut gambar yang dikeluarkan oleh pihak polis, dua ekor anak orang utan, seekor berusia kira-kira setahun dan seekor lagi hanya sebulan ditemui dalam sebuah bakul plastik, memakai lampin dengan botol susu di sisi mereka, menurut gambar yang dikeluarkan oleh pihak polis.

Penahanan itu adalah hasil siasatan bersama dengan Perkhidmatan Perikanan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat (USFWS) serta Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Orang utan yang berasal dari Borneo dan Sumatera diklasifikasikan sebagai Spesies Terancam Kritikal oleh Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) dan dilindungi di bawah perjanjian Konvensyen mengenai Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar yang Terancam (CITES).

Haiwan itu antara primat yang paling kerap menjadi mangsa penyeludupan di dunia.

Menurut polis Thailand, kedua-dua orang utan itu dipercayai dijual pada harga sekitar 300,000 baht (RM38,577) setiap seekor.

Lelaki berkenaan didakwa atas kesalahan memiliki hidupan liar dilindungi secara haram di bawah undang-undang Thailand dan bakal berdepan hukuman penjara sehingga empat tahun.

Kedua-dua anak orang utan itu, yang dinamakan Christopher dan Stefan, diserahkan kepada Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan untuk pemeriksaan kesihatan dan penjagaan bagi membantu proses pemulihan mereka.

Polis berkata, suspek mengaku diupah untuk menghantar haiwan tersebut, namun tidak mendedahkan jumlah bayaran yang diterima.

“Kami sedang menyiasat rangkaian yang lebih besar,” kata Pegawai Biro Siasatan Pusat, Kasidach Charoenlap.

Thailand dikenali sebagai hab transit utama bagi penyeludupan hidupan liar, dengan haiwan terancam yang sangat bernilai sering dijual di pasaran gelap di China, Vietnam dan Taiwan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN