GEORGE TOWN: Prihatin dengan jenayah penipuan atau ‘scam’ yang semakin menjadi-jadi ketika ini, Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Cawangan Pulau Pinang mengambil inisiatif menganjurkan siri jelajah khas bagi menyemai kesedaran itu khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
Dikenali sebagai program Anti-Scam Ceramah Kebangsaan, program itu dilaksanakan hasil kerjasama strategik dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) negeri.
Yang Dipertua MTPN Pulau Pinang, Zeon Cheong berkata, program itu dijangka dilaksanakan di 30 sekolah menengah seluruh negeri yang meliputi lima daerah bermula Ogos ini sehingga hujung tahun depan.
“Golongan muda terutamanya pelajar sekolah menengah dipilih menjadi kumpulan sasar dalam program ini kerana ia merupakan sebahagian daripada langkah proaktif untuk membina kewaspadaan dalam kalangan mereka susulan peningkatan kes-kes penipuan digital termasuk ‘Macau Scam’, ‘Love Scam’, penipuan pelaburan dan sebagainya.
“Selain itu, statistik semasa oleh MCMC juga menunjukkan bahawa golongan ini iaitu remaja yang berusia antara 15 hingga 18 tahun adalah antara mangsa utama akibat pendedahan digital tanpa pemahaman risiko yang mencukupi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zeon berkata, selain slot ceramah, program juga dilengkapi beberapa pengisian berkaitan termasuk modul-modul kesedaran berhubung kes penipuan dalam talian serta simulasi kes penipuan yang pernah berlaku.
“Fokus utama kita ialah untuk mengenal pasti teknik penipuan seperti panggilan bernada ugutan, tawaran kerja, pelaburan palsu serta pancingan data. Selain itu, kita juga berkongsi strategi untuk mengelak daripada menjadi mangsa melalui pengesahan maklumat dan elak kongsi data peribadi,” ujar beliau.
Zeon berkata, pihaknya menyasarkan untuk memperkasa sehingga 20,000 pelajar dengan pengetahuan mengesan serta melatih mereka untuk melaporkan aktiviti mencurigakan menerusi program berkenaan. – UTUSAN










