BANGKOK: Lebih 300 penduduk Myanmar melarikan diri ke Thailand bagi mendapatkan perlindungan selepas kumpulan etnik bersenjata melancarkan serangan terhadap tentera, kata pihak berkuasa Thailand pada Khamis, beberapa hari selepas gencatan senjata pasca gempa bumi dilanjutkan.
Myanmar terus bergolak dalam konflik sivil sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 dengan junta berdepan tentangan daripada gabungan kumpulan pemberontak dan pasukan penentang pro-demokrasi.
Menurut tentera Thailand, serangan pada Rabu oleh Tentera Pembebasan Kebangsaan Karen (KNLA) dan rakan sekutunya, Pertubuhan Pertahanan Kebangsaan Karen (KNDO) menyasarkan sebuah pangkalan tentera di negeri Kayin, kira-kira 2.5 kilometer dari sempadan Thailand.
“Serangan melibatkan kepungan jarak dekat ke atas pangkalan tersebut dan penggunaan dron bersenjata untuk menjatuhkan bahan letupan secara berterusan sepanjang hari,” menurut satu kenyataan.
Sehingga Khamis, seramai 327 rakyat Myanmar telah menyeberangi sempadan dan berlindung di dua lokasi sementara termasuk sebuah kuil dengan bantuan keselamatan dan kemanusiaan disediakan oleh tentera serta polis Thailand.
Pasukan keselamatan Thailand turut meningkatkan rondaan di sepanjang sempadan di wilayah Tak bagi mengelakkan pelanggaran kedaulatan oleh pasukan bersenjata asing.
Selepas gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda berhampiran bandar Mandalay pada 28 Mac lalu, kerajaan tentera Myanmar dan beberapa kumpulan bersenjata yang menentangnya telah mengumumkan gencatan senjata untuk memudahkan usaha bantuan dan pemulihan.
Namun, gencatan itu telah beberapa kali dicabuli menerusi serangan udara oleh tentera junta serta serangan balas oleh kumpulan bersenjata.
Gempa bumi berkenaan telah meragut hampir 3,800 nyawa dan menyebabkan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal.