Kerajaan interim Bangladesh haramkan Parti Liga Awami pimpinan bekas PM Sheikh Hasina - Utusan Malaysia

Kerajaan interim Bangladesh haramkan Parti Liga Awami pimpinan bekas PM Sheikh Hasina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Kerajaan sementara Bangladesh semalam mengumumkan pengharaman semua aktiviti Parti Liga Awami yang sebelum ini mentadbir negara dan diketuai bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina selepas beliau digulingkan tahun lalu.

Penasihat hal ehwal undang-undang negara itu, Asif Nazrul berkata, larangan tersebut diputuskan oleh Kabinet sementara yang diketuai oleh penerima Hadiah Keamanan Nobel, Muhammad Yunus.

Menurutnya, aktiviti parti berkenaan termasuk secara dalam talian diharamkan di bawah Akta Anti-Keganasan negara dan larangan itu akan berkuat kuasa sehingga tribunal khas menyelesaikan perbicaraan terhadap parti tersebut dan pemimpinnya berkaitan kematian ratusan pelajar dan penunjuk perasaan semasa kebangkitan anti-kerajaan pada Julai dan Ogos tahun lalu.

“Keputusan ini bertujuan memastikan keselamatan dan kedaulatan negara, melindungi aktivis pergerakan Julai serta plaintif dan saksi yang terlibat dalam prosiding tribunal,” kata Nazrul kepada pemberita selepas mesyuarat khas Kabinet malam tadi.

Nazrul turut memaklumkan skop perbicaraan terhadap mana-mana parti politik yang terlibat dalam pertuduhan membunuh semasa protes anti-Hasina kini diperluaskan dan akan dikendalikan oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa.

Beliau berkata satu notis rasmi berkaitan larangan tersebut akan diterbitkan dalam masa terdekat dengan perincian lanjut.

Sheikh Hasina dan beberapa pemimpin kanan partinya didakwa bagi kesalahan membunuh dalam pelbagai kes sejak penggulingannya tahun lalu. Hasina telah hidup dalam buangan di India sejak 5 Ogos selepas kediaman rasminya diserbu penunjuk perasaan sejurus beliau meninggalkan negara itu.

Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam satu laporan Februari lalu menyatakan sehingga 1,400 orang mungkin terbunuh sepanjang tiga minggu protes anti-Hasina.

Keputusan drastik kerajaan sementara malam Sabtu itu dibuat selepas ribuan penunjuk perasaan, termasuk penyokong parti politik baharu yang ditubuhkan oleh pelajar turun ke jalanan di Dhaka dan mengeluarkan tuntutan agar Parti Awami League diharamkan sebelum tengah malam. Sayap pelajar Parti Jamaat-e-Islami turut dilaporkan memainkan peranan penting dalam protes tersebut.

Tiada reaksi segera daripada Hasina atau partinya namun Ketua Parti Warga Negara Nasional, Nahid Islam yang juga seorang pemimpin pelajar memuji keputusan kerajaan yang dipimpin Yunus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN