Kempen PRU2025 Singapura dihentikan malam esok, tempoh bertenang bermula - Utusan Malaysia

Kempen PRU2025 Singapura dihentikan malam esok, tempoh bertenang bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Semua kempen bagi Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025) akan dihentikan bermula tengah malam esok seiring dengan bermulanya tempoh bertenang, menurut Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD).

Tempoh itu akan berlanjutan sehingga tamat proses pengundian Sabtu ini.

“Tempoh bertenang memberi ruang dan masa kepada pengundi untuk menilai secara rasional isu-isu yang dibangkitkan sepanjang kempen pilihan raya sebelum mengundi,” menurut kenyataan ELD hari ini.

Sepanjang tempoh itu, sebarang bentuk iklan pilihan raya baharu ditakrifkan sebarang maklumat yang munasabah untuk dianggap mempromosi, menyokong, atau menjejaskan kejayaan mana-mana calon, kumpulan calon atau parti politik adalah dilarang untuk dipamer atau diterbitkan secara umum.

Antara aktiviti kempen dan iklan pilihan raya yang dilarang termasuk berkongsi, menyebar semula, menyiarkan semula atau meningkatkan capaian iklan pilihan raya dalam talian (OEA); aktiviti merayu undi; lawatan mesra; serta kunjungan dari rumah ke rumah.

Larangan turut merangkumi penganjuran perhimpunan umum, “e-rally”, siaran langsung berkaitan pilihan raya serta pemakaian atau penggunaan sebarang bahan kempen.

Hanya calon sahaja dibenarkan memakai lambang parti yang diperuntukkan kepada mereka.

Penerbitan tinjauan pilihan raya atau exit poll sepanjang tempoh pilihan raya dari pengeluaran Writ sehingga tamat pengundian juga tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, laporan media berkaitan isu pilihan raya dikecualikan daripada larangan ini.

Pengecualian lain termasuk iklan yang disiarkan sebelum hari bertenang serta komunikasi bersifat peribadi seperti perkongsian kandungan pilihan raya dalam kumpulan tertutup atau sembang keluarga.

ELD turut mengingatkan calon dan penyokong mereka supaya menjaga tingkah laku di khalayak ramai dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh ditafsir sebagai berkempen.

“Calon masih dibenarkan menghadiri majlis keagamaan, perjumpaan atau program berkaitan kerja, tertakluk kepada larangan umum terhadap aktiviti kempen dan iklan pilihan raya semasa tempoh bertenang,” menurut kenyataan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya