Kanser prostat Joe Biden tidak dapat disembuhkan - Pakar kesihatan - Utusan Malaysia

Kanser prostat Joe Biden tidak dapat disembuhkan – Pakar kesihatan

JOE BIDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sebelum ini dilaporkan menghidap kanser prostat tahap agresif yang telah merebak ke tulang, menurut kenyataan rasmi pejabat peribadi beliau baru-baru ini.

Perkembangan itu mengejutkan pelbagai pihak, termasuk pakar perubatan yang menyifatkan ia sebagai ‘panggilan kesedaran’ untuk semua lelaki di seluruh dunia.

Pakar perubatan kanan dari United Kingdom (UK), Dr Gareth Nye, menjelaskan peluang Biden untuk sembuh adalah tipis, biarpun beliau mempunyai akses kepada kemudahan rawatan kesihatan terbaik di dunia.

“Pengumuman terbuka Biden mengenai diagnosis kansernya sepatutnya menjadi amaran besar kepada semua lelaki.

“Pada usia beliau, tidaklah mengejutkan jika disahkan menghidap kanser prostat, penyakit yang paling lazim menyerang kaum lelaki,” kata Dr Nye.

Di UK, lebih 50,000 kes baharu kanser prostat dikesan setiap tahun, menjadikan ia penyebab utama kematian lelaki akibat kanser, dengan lebih 12,000 kematian dicatatkan setiap tahun, ujar beliau lagi.

Kenyataan pejabat Biden menyebut beliau mula mendapatkan rawatan selepas mengalami simptom berkaitan saluran kencing, sebelum keputusan biopsi menunjukkan kewujudan kanser prostat tahap Gleason 9 (Kumpulan Gred 5), iaitu tahap tertinggi dari segi keganasan, dan telah bermetastasis ke tulang.

Dr Nye turut menyifatkan perkembangan ini sebagai satu ironi kerana Biden sendiri telah lama memperjuangkan kemajuan penyelidikan bioperubatan dalam usaha memerangi kanser ketika beliau memimpin program ‘Cancer Moonshot’ ketika menjadi Naib Presiden di bawah pentadbiran Barack Obama.

Biden, 82, yang sebelum ini menjadi sasaran kritikan lawan politik terutamanya daripada penyokong Trump berkaitan tahap kesihatannya, buat pertama kali tampil memberi kenyataan susulan diagnosis tersebut dengan berkata, “kanser menyentuh kehidupan setiap daripada kita.”

Rawatan Biden kini melibatkan terapi hormon dan kawalan simptom secara agresif, dengan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan Rumah Putih dan pakar kanser terbaik di AS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×