TEL AVIV: Israel menganjurkan satu majlis rahsia bagi memberi penghormatan kepada 120 anggotanya yang terlibat dalam perang di Semenanjung Gaza, dengan identiti dan wajah mereka disembunyikan kerana dikhuatiri berdepan pendakwaan antarabangsa berhubung pelanggaran hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin.
Akhbar Israel, Yedioth Ahronoth, melaporkan Presiden Isaac Herzog menganjurkan Majlis Anugerah Tentera Cemerlang tahunan dan menyampaikan Pingat Presiden kepada 120 tentera sebagai pengiktirafan bagi ‘perkhidmatan’ mereka.
Namun, majlis tersebut diadakan dalam keadaan penuh kawalan keselamatan yang ketat, tanpa mendedahkan identiti tentera yang terlibat.
Langkah ini diambil bagi melindungi mereka daripada tindakan undang-undang yang mungkin dikenakan oleh komuniti antarabangsa berhubung penglibatan mereka dalam operasi ketenteraan di Gaza.
Akhbar tersebut turut melaporkan, ekoran sekatan tersebut, sijil anugerah hanya disampaikan di hadapan keluarga tentera berkenaan selepas siaran langsung utama tamat dan tidak disiarkan secara langsung seperti kebiasaan sebelum ini.
Presiden Herzog dan Ketua Staf Angkatan Tentera Israel, Eyal Zamir, turut hadir dalam majlis tertutup itu.
Beberapa organisasi hak asasi manusia Palestin dan antarabangsa, termasuk Yayasan Hind Rajab, terus mendokumentasikan pelbagai pelanggaran yang dilakukan oleh tentera Israel sepanjang serangan ke atas Gaza.
Mereka menggesa agar kerajaan di seluruh dunia mengambil tindakan undang-undang terhadap anggota tentera yang terlibat sekiranya mereka melawat negara luar untuk bercuti.-AGENSI