India, Pakistan belum bertenang

India, Pakistan belum bertenang

PENDUDUK Pakistan mengibarkan bendera negara selepas gencatan senjata dipersetujui di Hyderabad, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Beberapa jam selepas gencatan senjata dipersetujui, India dan Pakistan masih melancarkan serangan terhadap satu sama lain.

Kementerian Luar India memaklumkan, negara itu ‘terpaksa bertindak’ selepas mendakwa Pakistan berulang kali mencabuli gencatan senjata tersebut.

Pakistan pula membalas, negara itu komited mematuhi gencatan yang dilaksanakan dan pasukan tenteranya berjaya menangani konflik yang berlaku dengan bertanggungjawab.

Koresponden AFP di Srinagar melaporkan beberapa bunyi letupan kuat turut kedengaran, malah pegawai kanan kerajaan Pakistan di Kashmir memberitahu, tentera kedua-dua negara saling berbalas tembakan di kawasan sempadan.

Kelmarin, India dan Pakistan bersetuju melaksanakan gencatan senjata penuh selepas beberapa hari kedua-dua negara berbalas serangan menyaksikan sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dan ribuan lagi terpaksa berpindah.

Kedua-dua negara kemudiannya dilaporkan berhenti sekali lagi melancarkan serangan, menyaksikan bekalan elektrik yang terputus di beberapa kawasan sebelum ini disambung semula.

Sebagai reaksi, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan India dan Pakistan kini terikat dengan gencatan senjata rapuh yang boleh runtuh pada bila-bila masa.

Namun, beliau komited mahu membantu kedua-dua negara itu berdamai dan mengakhiri konflik.

BERJAGA-JAGA

Penduduk di kedua-dua negara pada mulanya menyambut baik gencatan senjata yang dipersetujui, namun mereka menzahirkan kebimbangan semula susulan serangan yang masih berlaku.

Seorang konsultan internet dan teknologi Pakistan, Bilal Shabbir berkata, gencatan itu merupakan langkah positif untuk meredakan ketegangan yang berlaku.

“Dalam peperangan, bukan hanya tentera yang maut, kebanyakan penduduk awam yang terkorban dan dalam situasi ini, penduduk Kashmir yang paling banyak terbunuh.

“Bila kedua-dua negara masih melancarkan serangan, apa lagi kami boleh buat selain berdoa supaya selamat,” katanya yang menetap di Muzaffarabad di wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan.

Di Srinagar, penduduk, Sukesh Khajuria pula menyatakan mereka tidak boleh percayakan tentera Pakistan.

“Kami setuju dengan gencatan senjata itu, namun sukar untuk mempercayai Pakistan supaya tidak melancarkan serangan. Kami perlu berhati-hati,” katanya.

HARGAI IKHTIAR AS

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memberitahu gencatan senjata itu dilaksanakan selepas beliau dan Timbalan Presiden, JD Vance mengadakan pertemuan dengan barisan kepemimpinan India serta Pakistan.

Rubio memaklumkan kedua-dua negara itu bersetuju melakukan rundingan mengikut keperluan dan situasi yang berlaku.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menerusi platform X menyatakan, negara itu sudah lama cuba berdamai dengan India dengan mendapatkan sokongan serta bantuan antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau menghargai usaha yang dilakukan AS.

Bertentangan dengan India, negara itu menolak untuk berdamai dengan Pakistan, selain kepemimpinannya tidak yakin dengan gencatan senjata yang dilakukan.

“Gencatan itu dilakukan secara tergesa-gesa kerana ketegangan kedua-dua negara pada kemuncak tertinggi Ketika ini,” menurut penganalisis hal ehwal antarabangsa, Michael Kugelman.

Katanya, India melihat gencatan senjata itu daripada perspektif yang berbeza berbanding Pakistan dan AS.

CHINA SEDIA MAIN PERANAN

Menteri Luar China, Wang Yi menyatakan Beijing sentiasa menyokong usaha India dan Pakistan untuk berdamai, termasuk gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini.

Wang Yi juga mengulangi pendirian China memainkan peranan terbuka dan berkesan dalam membantu kedua-dua negara mengakhiri konflik yang berlaku.

Beliau membuat kenyataan itu ketika menelefon rakan sejawatnya di Pakistan, Ishaq Dar.

Wang Yi turut menyatakan kebimbangan mengenai konflik yang dijangka sukar untuk ditamatkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN