HOBART: Sebuah syarikat pembinaan kapal dari Australia, Incat, yang berpangkalan di Tasmania melancarkan kapal elektrik terbesar di dunia.
Kapal berkenaan, yang dinamakan Hull 096, dibina untuk syarikat pengendali feri dari Amerika Selatan, Buquebus bagi laluan antara ibu negara Argentina, Buenos Aires, dan Uruguay, merentasi Sungai Plate yang menjadi sempadan kedua-dua negara.
Pelancaran rasmi kapal itu diadakan di Hobart, Australia pada Jumaat lalu.
Dengan panjang 130 meter, Hull 096 bukan sahaja menjadi kapal elektrik terbesar di dunia, malah turut digelar sebagai ‘kenderaan elektrik terbesar dibina’.
Mampu membawa 2,100 penumpang dan 225 kenderaan, kapal itu beroperasi sepenuhnya menggunakan kuasa 250 tan bateri dengan kapasiti lebih 40 megawatt-jam, empat kali ganda lebih besar daripada mana-mana pemasangan sistem simpanan tenaga maritim.
Pengerusi Incat, Robert Clifford, berkata kejayaan itu menjadi titik tolak kepada hala tuju masa depan syarikat dalam membina kapal-kapal lestari untuk pasaran global.
“Kami sudah membina kapal bertaraf dunia di Tasmania selama lebih 40 tahun, namun Hull 096 adalah yang paling bercita-cita tinggi, paling kompleks dan paling penting pernah kami hasilkan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Incat, Stephen Casey, berkata kapal itu membuktikan penyelesaian pengangkutan berskala besar yang rendah pelepasan karbon sudah boleh dilaksanakan.
Menurut laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), industri perkapalan global menyumbang tiga peratus daripada jumlah pelepasan karbon dunia.