GAZA: Doktor Alaa al-Najjar sedang merawat kanak-kanak yang cedera di sebuah hospital di selatan Semenanjung Gaza apabila berita tragis tentang rumah yang menempatkan 10 orang anaknya dibom disampaikan kepadanya.
Seorang daripada ahli keluarganya menceritakan, pakar pediatrik itu berlari dari Kompleks Perubatan Nasser ke rumah keluarganya di bandar Khan Younis.
“Apabila dia melihat mayat-mayat yang rentung, dia mula menjerit dan menangis. Hati Alaa benar-benar hancur ketika ini,” kata Ali al-Najjar, abang kepada suami Alaa.
Menurut ahli keluarga, sembilan daripada anaknya terbunuh, dengan mayat mereka hangus dan sukar dikenali.
“Saya tak dapat kenal siapa anak-anak di dalam kafan. Wajah mereka sudah tiada,” kata Sahar al-Najjar, kakak kepada Alaa sambil menangis.
Situasi hiba terus memuncak apabila Alaa seperti ‘hilang kawalan’ selepas mayat anak perempuannya, Nibal dikeluarkan dari celah runtuhan.
Doktor wanita itu meraung dan memanggil nama anaknya.
Anak ke-10, Adam yang berusia 10 tahun terselamat daripada serangan itu tetapi masih dalam keadaan kritikal, begitu juga dengan bapanya, Dr.Hamdi al-Najjar yang turut berada di rumah ketika serangan berlaku.
Kedua-dua mereka kini ditempatkan di unit rawatan rapi di Kompleks Perubatan Nasser.
Satu khemah sementara turut didirikan berhampiran tapak rumah keluarga Alaa yang musnah dan doktor wanita itu kelihatan sugul serta enggan bercakap.
Ramai penduduk mengunjungi keluarga Alaa untuk mengucapkan takziah, malah ada dalam kalangan mereka menangis mengenangkan nasib yang menimpa doktor berkenaan.
Ketika itu, bunyi letupan masih kedengaran di kawasan sekitar, namun Alaa dan orang ramai sedikit pun tidak menunjukkan rasa takut.
Menurut ahli keluarga, serangan udara pada petang Jumaat itu berlaku tanpa sebarang amaran.
Tentera Israel pula memberitahu, mereka melancarkan serangan itu selepas mengenal pasti beberapa sasaran di kawasan berhampiran rumah keluarga Alaa dan akan menyiasat kematian melibatkan penduduk awam.
Sementara itu, suami Alaa, Dr. Hamdi al-Najjar dilaporkan sudah menjalani beberapa pembedahan bagi merawat kecederaan dialaminya, termasuk membuang sebahagian besar paru-paru kanannya dan memberikan sebanyak 17 pemindahan darah. -AFP











