WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) menggantung pelaksanaan perintah eksekutif Presiden Donald Trump bagi membubarkan Jabatan Pendidikan negara itu serta mengarahkan semula pelantikan ratusan kakitangan yang diberhentikan.
Pada Mac lalu, Jabatan Pendidikan mengumumkan pengurangan hampir separuh daripada jumlah kakitangannya tidak lama selepas Trump mengeluarkan perintah eksekutif yang mengarahkan Setiausaha Pendidikan, Linda McMahon untuk menghapuskan jawatannya sendiri.
Langkah itu mendapat pujian daripada penyokong konservatif Trump namun secara perundangan, jabatan yang ditubuhkan pada 1979 tidak boleh dimansuhkan tanpa kelulusan Kongres.
Lebih 20 negeri bersama kesatuan guru memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan tersebut dengan hujah bahawa kerajaan persekutuan telah melanggar prinsip pengasingan kuasa apabila mengambil alih bidang kuasa yang sepatutnya milik Kongres.
Seorang hakim persekutuan di bandar Boston, Myong Joun berpihak kepada pihak plaintif dengan menggantung perintah eksekutif itu serta mengarahkan pemulihan jawatan ratusan pekerja yang diberhentikan.
“Mahkamah ini tidak boleh berdiam diri sementara kakitangan jabatan terus dibuang kerja dan unit-unit dipindahkan keluar sehingga jabatan itu hanya tinggal nama sahaja,” ujar Hakim Joun dalam penghakimannya.
Secara tradisinya, kerajaan persekutuan AS memainkan peranan terhad dalam bidang pendidikan dengan hanya kira-kira 13 peratus pembiayaan bagi sekolah rendah dan menengah datang daripada dana persekutuan manakala selebihnya ditanggung oleh kerajaan negeri dan komuniti tempatan.
Namun begitu, pembiayaan persekutuan amat penting untuk sekolah-sekolah berpendapatan rendah serta pelajar berkeperluan khas.
Kerajaan persekutuan juga memainkan peranan penting dalam memastikan perlindungan hak sivil pelajar dilaksanakan.
Mengikut undang-undang, Jabatan Pendidikan tidak boleh dibubarkan sepenuhnya tanpa kelulusan Kongres termasuk memerlukan 60 undi di Senat sedangkan parti Republikan yang memerintah ketika ini hanya menguasai 53 kerusi.










