Gunung Berapi Uturuncu dijangka meletus semula selepas 'tidur' 250,000 tahun - Utusan Malaysia

Gunung Berapi Uturuncu dijangka meletus semula selepas ‘tidur’ 250,000 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LA PAZ: Sebuah gunung berapi yang telah ‘tidur’ selama lebih 250,000 tahun kini menunjukkan tanda-tanda akan meletus semula, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan saintis dan penduduk sekitar.

Gunung berapi tersebut dikenali sebagai Uturuncu, terletak di Banjaran Andes, Bolivia dan telah mencatatkan peningkatan mendadak dalam aktiviti seismik serta pelepasan gas bawah tanah sejak kebelakangan ini.

Pakar dari Universiti Oxford mendedahkan perubahan mendadak ini termasuk corak ‘sombrero’ pada permukaan tanah di mana kawasan tengah gunung semakin terangkat manakala bahagian sekelilingnya menurun menunjukkan terdapat pergerakan cecair dan gas panas di bawah kawah gunung berapi tersebut.

Uturuncu yang berketinggian lebih 19,700 kaki merupakan gunung berapi jenis stratovolcano, iaitu gunung berapi berbentuk kon besar yang terbentuk daripada lapisan lava, abu gunung berapi dan batu-batuan yang mengeras sama seperti Gunung St. Helens dan Gunung Vesuvius.

Namun, berbeza dengan gunung berapi lain, Uturuncu terletak hanya sekitar 40 kilometer dari tiga kawasan penempatan utama, menjadikan letusan berpotensi membawa kemusnahan besar serta mengancam nyawa dan sekiranya berlaku letusan, aliran lava boleh menenggelamkan komuniti berhampiran manakala abu gunung dijangka tersebar ke seluruh Bolivia, Argentina dan Chile.

Setakat ini, lebih 1,700 gempa bumi kecil telah direkodkan di kawasan sekitar gunung tersebut.

Kajian terkini turut menemui beberapa laluan panas dari bawah tanah yang menunjukkan pergerakan gas dan cecair ke atas, berkemungkinan besar membentuk takungan di bawah kawah.

Menurut Profesor Matthew Pritchard dari Universiti Cornell yang terlibat dalam penyelidikan itu, walaupun potensi letusan penuh masih rendah, tanda-tanda yang ditunjukkan Uturuncu jelas menunjukkan gunung berapi yang dianggap ‘mati’ boleh kembali aktif.

“Kaedah kajian ini boleh diaplikasikan kepada lebih 1,400 gunung berapi berpotensi aktif di dunia, termasuk puluhan gunung yang seperti Uturuncu tidak dianggap aktif tetapi menunjukkan tanda-tanda kehidupan. Inilah yang kami gelar sebagai ‘gunung berapi zombi’,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN