Gunung Berapi Etna di Itali muntahkan lahar, debu panas - Utusan Malaysia

Gunung Berapi Etna di Itali muntahkan lahar, debu panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SICILY: Gunung Berapi Etna, antara gunung berapi paling aktif di selatan Itali, meletus pada waktu malam dengan memuntahkan sejumlah besar abu dan lahar, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan pada Selasa.

Letusan yang bermula dari Kawah Tenggara itu disertai letupan kerap dan kuat, serta menghasilkan dua aliran lahar kecil ke arah selatan dan timur, menurut laporan Catania Today.

Kepulan abu juga dilihat bergerak ke arah tenggara dan menyebabkan hujan abu gunung berapi di bandar berhampiran, Zafferana Etnea.

Notis Pemerhatian Gunung Berapi bagi Penerbangan (VONA) yang dikeluarkan oleh INGV (Institut Geofizik dan Vulkanologi Nasional) telah diturunkan kepada tahap ‘hijau’, iaitu tahap amaran paling rendah.

Pihak berkuasa mengesahkan letusan itu tidak menjejaskan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Vincenzo Bellini di Catania.

Terletak di Pulau Sicily, Etna merupakan gunung berapi aktif tertinggi di benua Eropah dengan ketinggian sekitar 3,300 meter.

Letusan terbaharu itu adalah yang ke-13 direkodkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN