PARIS: Penyakit demam denggi dan chikungunya berisiko menjadi endemik di Eropah apabila nyamuk pembawa utama virus tersebut kini makin banyak dikesan di utara benua itu akibat pemanasan global, menurut satu kajian yang diterbitkan pada Khamis.
Sekitar separuh daripada populasi dunia kini sudah pun berisiko dijangkiti kedua-dua penyakit yang dahulunya lebih banyak tertumpu di kawasan tropika.
Kedua-dua virus yang boleh menyebabkan demam panas dan dalam kes tertentu membawa maut ini disebarkan oleh nyamuk Aedes Aegypti dan Aedes Albopictus yang lebih dikenali sebagai nyamuk harimau.
Kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal Lancet Planetary Health menganalisis kesan pelbagai faktor termasuk perubahan iklim terhadap penularan kedua-dua penyakit di Eropah dalam tempoh 35 tahun lalu.
Kajian itu mendapati frekuensi dan keterukan wabak meningkat sejak 2010 sejajar dengan peningkatan suhu global.
Pada 2024 yang dicatatkan sebagai tahun paling panas, lebih 300 kes denggi direkodkan di Kesatuan Eropah (EU), berbanding hanya 275 kes dalam tempoh 15 tahun sebelumnya.
Wabak denggi kini dikesan di Itali, Croatia, Perancis dan Sepanyol.
“Hasil kajian kami menunjukkan EU sedang mengalami peralihan daripada wabak secara sporadik penyakit bawaan nyamuk Aedes kepada situasi endemik,” menurut laporan kajian itu.
Menurut pasukan penyelidik dari Eropah, semakin tinggi suhu, semakin besar risiko penularan penyakit oleh nyamuk harimau.
Dalam senario paling buruk akibat perubahan iklim, jumlah wabak denggi dan chikungunya boleh meningkat sehingga lima kali ganda menjelang 2060, menurut unjuran mereka.
Menariknya, kajian juga mendapati wabak lebih kerap berlaku di kawasan berpendapatan tinggi yang menunjukkan kemungkinan saringan yang lebih baik mendedahkan lebih banyak kes manakala kes yang tidak dikesan mungkin berlaku di kawasan penduduk miskin.
Pulau Reunion milik Perancis di Lautan Hindi baru-baru ini mengalami wabak chikungunya yang membawa maut.
Nyamuk harimau juga diketahui mampu menyebarkan virus zika dan West Nile walaupun kedua-duanya tidak termasuk dalam kajian terbaharu ini. – AFP