BEIJING: Impian pemilik haiwan peliharaan untuk memahami makna di sebalik bunyi haiwan kesayangan mereka mungkin tidak lagi mustahil apabila syarikat teknologi gergasi China, Baidu membangunkan sistem kecerdasan buatan (AI) yang mampu menterjemah bunyi haiwan kepada bahasa manusia.
Baidu memfailkan paten dengan Pentadbiran Harta Intelek Negara China (CNIPA) bagi sistem terjemahan berteknologi tinggi yang bukan sahaja menganalisis bunyi vokal seperti salakan dan ngauman, malah mengambil kira bahasa tubuh, perubahan tingkah laku dan petunjuk biologi lain.
Data yang dikumpul akan diproses dan digabungkan sebelum dianalisis menggunakan AI untuk mengenal pasti keadaan emosi haiwan.
Keadaan emosi itu kemudian akan dipadankan dengan makna semantik dan diterjemah ke dalam bahasa manusia seperti bahasa Cina atau Inggeris.
“Projek ini bertujuan membolehkan komunikasi emosi yang lebih mendalam dan pemahaman yang lebih tepat antara manusia dan haiwan,” menurut Baidu.
Jurucakap Baidu menjelaskan sistem itu masih berada dalam peringkat penyelidikan awal dan belum ditentukan bila ia akan dilancarkan secara komersial.
“Kami menerima banyak maklum balas berikutan pemfailan paten ini, namun projek ini masih dalam fasa kajian,” kata jurucakap tersebut kepada media.
Paten itu difailkan pada Disember tahun lalu dan hanya diterbitkan secara umum pada Selasa lalu, menurut South China Morning Post.
Baidu bukan satu-satunya pihak yang sedang berusaha menterjemah bahasa haiwan,
Projek Earth Species yang disokong oleh pengasas LinkedIn, Reid Hoffman, dan Project CETI yang menggunakan AI untuk memahami komunikasi paus sperma, turut berada di barisan hadapan dalam bidang ini malah, sekumpulan saintis di Denmark berjaya menggunakan AI untuk menterjemah bunyi babi kepada emosi buat kali pertama.