GAZA: Kementerian Kesihatan Gaza memberi amaran bekalan bahan api di semua hospital dalam wilayah itu hanya mampu bertahan tiga hari lagi, lapor Agensi Anadolu pada Ahad.
Menurut kenyataan kementerian itu, tentera Israel menghalang organisasi antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) daripada mengakses kawasan simpanan bahan api yang diperuntukkan kepada hospital dengan alasan kawasan tersebut terletak dalam ‘zon merah’.
“Bekalan bahan api yang sangat terhad ketika ini hanya mencukupi untuk menyokong operasi hospital selama tiga hari sahaja,” menurut kenyataan itu.
Semua hospital di Gaza sangat bergantung kepada janakuasa bagi mengendalikan unit rawatan rapi, bilik pembedahan dan jabatan penting lain, memandangkan sistem bekalan elektrik telah lumpuh akibat serangan udara Israel yang berterusan selama berbulan-bulan.
“Kekangan bekalan bahan api ini memberi ancaman langsung kepada fungsi hospital,” tegas kementerian tersebut sambil memberi amaran tentang kemungkinan penutupan penuh perkhidmatan perubatan yang penting.
Sejak serangan ganas Israel bermula pada Oktober 2023, hampir 52,500 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh di Gaza, kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, pada November lalu atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga sedang berdepan perbicaraan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakan ketenteraannya di wilayah tersebut. – AGENSI