GENEVA: Amerika Syarikat (AS) dan China pada Isnin mengumumkan persetujuan untuk mengurangkan secara drastik tarif balas masing-masing selama 90 hari, langkah penting dalam meredakan perang perdagangan yang menggugat pasaran kewangan global dan menimbulkan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi dunia.
Dalam kenyataan bersama selepas rundingan pertama mereka, kedua-dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu bersetuju untuk menurunkan tarif tiga angka kepada hanya dua angka serta meneruskan rundingan lanjut.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent menyifatkan perbincangan hujung minggu lalu dengan Naib Perdana Menteri China, He Lifeng dan wakil perdagangan antarabangsa, Li Chenggang sebagai ‘produktif dan kukuh’.
“Kedua-dua pihak menunjukkan rasa hormat yang tinggi,” kata Bessent kepada media.
Trump sebelum ini mengenakan tarif sebanyak 145 peratus ke atas barangan import dari China bulan lalu, berbanding hanya 10 peratus untuk negara lain dalam kempen tarif globalnya.
Sebagai tindak balas, Beijing mengenakan tarif sebanyak 125 peratus ke atas barangan AS.
Bessent menjelaskan, kedua-dua negara bersetuju untuk mengurangkan tarif masing-masing sebanyak 115 mata peratusan, menjadikan tarif AS kini kepada 30 peratus, manakala China kepada 10 peratus.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menubuhkan mekanisme bagi meneruskan perbincangan berkaitan hubungan ekonomi dan perdagangan.
Kementerian Perdagangan China menyambut baik kemajuan ketara dalam rundingan itu dan menyatakan langkah tersebut adalah demi kepentingan bersama kedua-dua negara serta dunia.
“Langkah ini adalah demi kepentingan bersama kedua-dua negara dan dunia secara keseluruhannya.
“Kami berharap Washington akan terus bekerjasama untuk membetulkan amalan salah kenaikan tarif unilateral,” katanya.
Berita itu mendorong pengukuhan nilai dolar AS yang sebelum ini jatuh akibat krisis tarif, manakala pasaran saham AS, Eropah dan Asia turut melonjak.
Pertikaian perdagangan antara Washington dan Beijing sebelum ini telah menggoncang pasaran global, menimbulkan kebimbangan terhadap inflasi dan kemungkinan kemelesetan ekonomi.
Ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Ngozi Okonjo-Iweala, memuji rundingan tersebut sebagai langkah penting yang memberi harapan kepada masa depan.
“Dalam suasana ketegangan global masa kini, kemajuan ini sangat penting bukan sahaja kepada AS dan China, malah kepada seluruh dunia termasuk ekonomi yang paling terdedah,” katanya.-AFP