BUKAVU: Sekurang-kurangnya 62 maut manakala 50 lagi dilaporkan hilang selepas banjir besar melanda beberapa perkampungan di sepanjang pesisir Tasik Tanganyika, timur Republik Demokratik Congo, susulan hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu.
Menurut saksi, banjir mula melanda sekitar pukul 5 pagi waktu tempatan dan mengakibatkan keseluruhan perkampungan Kasaba di sektor Ngandja dihanyutkan arus deras.
Menteri Kesihatan Wilayah Kivu Selatan, Théophile Walulika Muzaliwa memaklumkan operasi mencari dan menyelamat berdepan kesukaran akibat kekurangan kemudahan asas serta gangguan talian komunikasi susulan bencana itu.
“Ketua sektor, ketua kampung serta pemimpin tempatan yang juga merupakan anggota pentadbiran wilayah kini berada di lokasi kejadian. Setakat ini, hanya Palang Merah yang berada di kawasan bencana untuk memberikan bantuan kemanusiaan,” katanya menerusi panggilan telefon.
Tambah beliau, jumlah sebenar korban masih belum dapat dipastikan kerana usaha pencarian mangsa masih diteruskan.
Bencana ini berlaku hanya beberapa minggu selepas banjir besar di ibu negara, Kinshasa meragut 33 nyawa bulan lalu.
Wilayah timur Congo sejak sekian lama dibelenggu konflik antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak.
Ketegangan yang memuncak sejak Februari lalu terus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedia ada, menjadikan rantau itu antara yang paling terjejas di dunia.