LONDON: Keputusan bersejarah oleh Mahkamah Agung United Kingdom (UK) menetapkan istilah ‘wanita’ dalam Akta Kesamarataan 2010 merujuk kepada wanita dari segi biologi, bukan identiti jantina.
Lima hakim Mahkamah Agung termasuk Lord Hodge, membuat keputusan sebulat suara bahawa wanita dan jantina dalam Akta Kesamarataan bermaksud wanita dan jantina secara biologikal.
Dalam keputusan 88 halaman, hakim-hakim menyatakan definisi jantina dalam Akta Kesamarataan 2010 menjelaskan konsep jantina adalah binari iaitu seseorang sama ada wanita atau lelaki.
Keputusan ini boleh memberi kesan besar terhadap hak berasaskan jantina, termasuk pengurusan ruang eksklusif untuk wanita.
Pemimpin Konservatif, Kemi Badenoch memuji keputusan itu sebagai kemenangan untuk wanita dan menyatakan era di mana Keir Starmer (pemimpin Buruh) mendakwa wanita boleh menjadi lelaki sudah berakhir.
Kes ini bermula daripada pertikaian antara kerajaan Scotland dan kumpulan hak wanita For Women Scotland (FWS) mengenai definisi wanita dalam undang-undang Scotland yang mewajibkan 50 peratus perwakilan wanita dalam lembaga awam.
Isu utama adalah sama ada seseorang yang mempunyai Sijil Pengiktirafan Jantina (GRC) sebagai perempuan harus dianggap sebagai wanita di bawah Akta Kesamarataan.
Kerajaan Scotland berhujah mereka berhak mendapat perlindungan berasaskan jantina, manakala FWS mendakwa hak itu hanya untuk individu yang dilahirkan sebagai perempuan.
Keputusan Mahkamah Agung ini membatalkan keputusan mahkamah Scotland pada 2023 yang menyatakan bahawa mengiktiraf GRC sebagai wanita adalah sah di bawah Akta Kesamarataan.
Lord Hodge menekankan keputusan ini bukan kemenangan satu pihak ke atas yang lain, sambil mengingatkan komuniti transgender tetap dilindungi daripada diskriminasi di bawah undang-undang sedia ada.
“Akta Kesamarataan melindungi orang transgender bukan sahaja daripada diskriminasi berdasarkan ciri ‘penukaran jantina’, tetapi juga daripada diskriminasi langsung, tidak langsung, dan gangguan dalam gender yang mereka iktiraf.
“Di satu pihak iaitu wanita terdiri daripada separuh daripada populasi telah berjuang lebih 150 tahun untuk kesamarataan dengan lelaki. Di pihak lain, iaitu minoriti transgender sering menghadapi diskriminasi berusaha hidup dengan bermaruah,” katanya yang mengakui sensitiviti isu ini.