PARIS: Perdana Menteri Perancis, François Bayrou, menyeru tindakan tegas terhadap jenayah dalam kalangan remaja selepas seorang pelajar sekolah menengah menikam empat pelajar lain di sekolahnya, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut.
Pelajar berusia 15 tahun itu dilaporkan menyerang rakan sekelasnya dengan pisau semasa waktu rehat di sekolah menengah swasta Notre-Dame-de-Toutes-Aides di bandar Nantes, pantai Atlantik, pada tengah hari Khamis.
Serangan itu berlaku sekitar pukul 12.30 tengah hari, sebelum guru-guru dapat mengawal pelajar tersebut.
Seorang pelajar perempuan terbunuh, manakala sekurang-kurangnya seorang lagi pelajar cedera parah dan kini berada di hospital.
“Tragedi ini sekali lagi menunjukkan keganasan yang wujud dalam sebahagian generasi muda kita. Persoalan asas dari segi pendidikan, nilai, dan penghormatan terhadap nyawa manusia perlu ditanya,” kata Bayrou dalam satu kenyataan.
Beliau mengarahkan pemeriksaan di dalam dan sekitar sekolah diperketatkan dengan segera selain sebuah jawatankuasa akan menyiasat cara menangani jenayah pisau dalam kalangan remaja dari segi jualan senjata, pemilikan, dan pembawaan pisau. Jawatankuasa itu akan mengkaji amalan terbaik di negara-negara lain di seluruh dunia.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron memuji keberanian guru-guru yang campur tangan dan menyatakan seluruh negara turut merasai kejutan dan kesedihan sekolah itu.
Sumber polis memberitahu France Info pelajar lelaki itu pertama kali menyerang seorang pelajar di tingkat dua sekolah sebelum menyerang tiga lagi yang sedang menuruni tangga. Menurut sumber itu, dia masuk ke dua bilik darjah dan membawa dua bilah pisau.
Pelajar lelaki itu kini dalam tahanan polis, dan penilaian psikiatri sedang dijalankan, menurut laporan France Télévisions.