GAZA: Tentera Israel memusnahkan 90 peratus kawasan kediaman di bandar Rafah, selatan Gaza sejak Oktober 2023, lapor Agensi Anadolu.
Pejabat media kerajaan Gaza berkata, tentera Israel memusnahkan kawasan seluas 12,000 meter persegi di Rafah, menjadikan bandar itu sebagai salah satu contoh paling mengerikan bagi jenayah genosid dan pembersihan etnik pada zaman moden.
Pejabat itu berkata, 85 peratus daripada rangkaian kumbahan bandar musnah, yang boleh mewujudkan risiko penularan wabak penyakit.
Bahkan, semua 12 pusat perubatan di Rafah kini tidak lagi beroperasi, termasuk Hospital Abu Youssef al-Najjar, yang diletupkan rejim Israel menggunakan robot bahan letupan semasa serangan mautnya terhadap Gaza.
Serangan udara Israel juga memusnahkan lapan sekolah dan institusi pendidikan serta merosakkan kemudahan lain yang masih tinggal di Rafah.
Katanya, lebih 100 masjid turut dimusnahkan atau mengalami kerosakan teruk di Rafah.
Rafah meliputi kawasan seluas kira-kira 60 kilometer persegi dan merupakan tempat tinggal bagi 300,000 penduduk, merangkumi 16 peratus daripada keseluruhan keluasan Gaza.
Menurut pejabat media itu, 22 daripada 24 telaga air di Rafah dimusnahkan, menyebabkan puluhan ribu penduduk tidak mempunyai akses kepada air minuman bersih.
Kemusnahan turut melibatkan 320 kilometer jalan raya di Rafah, yang mengakibatkan bandar itu kini tercemar serta tidak layak lagi untuk didiami.
Susulan itu, pihak berkuasa tempatan itu menuntut tekanan dikenakan terhadap Israel untuk berundur dari Rafah dan membenarkan penduduk yang dipindahkan pulang.
Ia turut menggesa laluan selamat dibuka bagi penghantaran bantuan kemanusiaan serta melancarkan usaha pembinaan semula di bandar yang musnah.
Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar meningkatkan serangan terhadap Gaza, dalam usaha merealisasikan rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi memindahkan rakyat Palestin dari wilayah itu.
Pada masa sama, pejabat media Gaza turut mengesahkan 490 kanak-kanak Palestin terbunuh dalam tempoh 20 hari lalu akibat serangan Israel.
Ia menuduh Israel sengaja melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam tidak bersenjata di Gaza, dengan menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran utama serangan udara.
“Sepanjang 20 hari lalu, Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap kanak-kanak, dengan 490 terbunuh dalam siri serangan tidak berperikemanusiaan,” katanya.










