PYONGYANG: Status Korea Utara sebagai negara pemilik senjata nuklear tidak boleh diubah, tidak kira berapa banyak Amerika Syarikat (AS) dan sekutu di Asia menuntutnya, lapor KCNA.
Agensi berita negara itu memetik adik kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Yo Jong, sebagai respons terhadap kenyataan bersama Menteri Luar Korea Selatan, Jepun dan AS yang dibuat semasa mesyuarat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), minggu lalu.
Ketiga-tiga menteri itu mengesahkan komitmen untuk penyahnuklear sepenuhnya Korea Utara, menurut kenyataan bersama tersebut.
Yo Jong berkata, kedudukan Korea Utara sebagai negara pemilik senjata nuklear adalah hasil daripada ancaman luar yang bermusuhan serta tidak akan berubah walaupun ada pihak menafikannya, lapor KCNA.
“Kami tidak peduli dengan penafian dan pengiktirafan sesiapa dan kami tidak akan pernah mengubah pilihan kami.
“Ini adalah pilihan teguh kami yang tidak boleh diubah oleh sebarang kekuatan fizikal atau muslihat licik,” katanya.
Korea Utara mengejar pembangunan senjata nuklear walaupun dikenakan sekatan oleh Majlis Keselamatan PBB sejak pertama kali menjalankan ujian letupan bawah tanah pada 2006.
Sejak itu, dipercayai bahawa negara tersebut membangunkan senjata nuklear, walaupun ia belum melaksanakan ujian nuklear atmosfera.
Ia menjadi dasar lama Washington dan sekutunya di Asia untuk memusnahkan sepenuhnya program nuklear Korea Utara, namun penganalisis percaya Pyongyang mencapai tahap di mana ia tidak lagi bersedia untuk berkompromi dalam sebarang perjanjian bagi mencapai matlamat itu.
Presiden AS, Donald Trump menggelar Korea Utara sebagai ‘kuasa nuklear’ dan mencadangkan untuk berbincang dengan pemimpinnya, Kim Jong Un, dalam usaha meredakan ketegangan keselamatan.- AGENSI