Serangan di Kashmir sebabkan India, Pakistan kembali bertelagah

Serangan di Kashmir sebabkan India, Pakistan kembali bertelagah

AKTIVIS Parti Bhartiya Janata (BJP) India mengambil bahagian dalam protes terhadap Pakistan bagi mengutuk serangan Kashmir, di Amritsar kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Hubungan India dengan Pakistan kembali tegang, sehari selepas kumpulan lelaki bersenjata membunuh 26 orang di bandar pelancongan Pahalgam di wilayah Kashmir.

Setiausaha Luar India, Vikram Misri ketika taklimat media memberitahu, lintasan sempadan darat utama antara kedua-dua negara ditutup berkuat kuasa serta-merta, selain New Delhi akan menggantung perjanjian yang membenarkan perkongsian perairan sistem sungai Indus antara India dan Pakistan.

Menurut Misri, warga Pakistan juga tidak lagi dibenarkan memasuki India di bawah program pengecualian visa Persatuan Asia Selatan untuk Kerjasama Serantau (SAARC), dan mereka yang sedang menggunakan kemudahan tersebut diberi tempoh 48 jam meninggalkan negara.

Beliau berkata, penasihat pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Pakistan di New Delhi diisytiharkan sebagai ‘persona non grata’ dan diarahkan meninggalkan negara.

Selain itu, jumlah kakitangan Suruhanjaya Tinggi India di Islamabad turut dikurangkan daripada 55 kepada 30 orang, kata Misri.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, memanggil mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negara pada pagi Khamis, bagi memberi maklum balas terhadap kenyataan kerajaan India, menurut hantaran Menteri Luar, Ishaq Dar di platform X.

TIADA KEADAAN NORMAL

Kashmir menyaksikan siri serangan maut, termasuk terhadap pekerja asing dari negeri India, sejak New Delhi menamatkan status separa autonomi wilayah itu pada 2019 dan secara drastik mengekang perbezaan pendapat, kebebasan sivil dan media.

Serangan pada Selasa dianggap sebagai satu tamparan hebat kepada kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi, yang sebelum ini kerap mendakwa keadaan kembali ‘normal’ di Kashmir sejak status separa autonominya dimansuhkan.

New Delhi juga giat mempromosikan pelancongan, dan wilayah itu menarik jutaan pelawat ke kawasan kaki bukit Himalaya serta rumah bot yang dihias indah.

Pengarah Eksekutif Portal Keganasan Asia Selatan, Ajai Sahni berkata, sifar militan di Kashmir adalah objektif yang mustahil untuk direalisasikan, sekurang-kurangnya tanpa penyelesaian politik di peringkat negeri.

“Naratif keadaan kembali normal sebenarnya mendorong kumpulan tertentu untuk merancang serangan. Hakikatnya, tiada keadaan normal di Kashmir,” katanya.

Barisan Penentangan (TRF), kumpulan yang kurang dikenali, mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu melalui mesej dalam media sosial.

TRF menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap lebih 85,000 ‘orang luar’ menetap di wilayah tersebut, yang menurut mereka mencetuskan perubahan demografi.

Polis mengesahkan mangsa terbunuh terdiri daripada 25 warga India dan seorang rakyat Nepal, manakala sekurang-kurangnya 17 yang lain cedera.

BARISAN PENENTANGAN

TRF, masih dirujuk sebagai ‘tidak jelas’’ dalam struktur keselamatan Kashmir, kerana kewujudannya masih menjadi persoalan pelbagai pihak hingga kini.

Selepas kerajaan India secara sepihak membatalkan autonomi separa Kashmir dan mengenakan sekatan berbulan-bulan, kumpulan itu mula terbentuk dengan mengenakan platform media sosial untuk menyampaikan mesej mereka.

Dalam menyusun semula Kashmir, kerajaan juga melanjutkan status domisil, membenarkan hak pemilikan tanah dan akses kepada kuota pekerjaan disediakan kerajaan, yang dikatakan justifikasi kepada serangan Pahalgam.

Nama Barisan Penentangan merupakan perubahan daripada kumpulan pemberontak tradisional di Kashmir, yang kebanyakannya menggunakan nama-nama Islam.

India secara konsisten mendakwa, TRF adalah cabang atau bahagian hadapan bagi Lashkar-e-Taiba-, sebuah kumpulan bersenjata yang berpangkalan di Pakistan.

New Delhi menuduh Pakistan menyokong pemberontakan bersenjata di Kashmir, namun dinafikan sekeras-kerasnya oleh Islamabad.

Beberapa pegawai India percaya serangan pada Selasa mungkin didalangi oleh Lashkar-e-Taiba, dengan TRF mengambil tanggungjawab untuk mengelirukan siasatan terhadap pembunuhan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya