PERTH: Seorang daripada saksi utama dalam pendedahan skandal jenayah seksual melibatkan jutawan pedofilia, Jeffrey Epstein iaitu Virginia Giuffre, dilaporkan meninggal dunia di Australia, menurut kenyataan keluarganya pada Jumaat.
Giuffre, 41, yang berasal dari Amerika Syarikat (AS), dilaporkan meninggal dunia akibat mengambil nyawanya sendiri di ladang miliknya di Australia Barat.
Nama Giuffre kekal sinonim dengan siri skandal membabitkan Epstein dan rangkaiannya, selepas beliau tampil mendedahkan kegiatan pemerdagangan manusia dan eksploitasi seksual terhadap gadis-gadis muda.
Antara gambar yang menjadi simbol kepada skandal itu ialah foto Giuffre bersama Putera Andrew yang dirakam di London pada tahun 2001.
Gambar tersebut, yang turut menampilkan Ghislaine Maxwell di latar belakang, menjadi tumpuan dunia dan memainkan peranan besar dalam temu bual bencana Putera Andrew bersama program Newsnight pada 2019.
Sehingga kini, asal-usul foto berkenaan masih menjadi tanda tanya, dan kematian Giuffre menambahkan lagi misteri terhadap salah satu gambar paling kontroversi dalam sejarah diraja Britain.
Epstein, yang dikatakan merakam gambar itu, meninggal dunia dalam penjara ketika menunggu perbicaraan bagi tuduhan pemerdagangan seks.
Maxwell, rakan rapat Epstein yang membantu dalam jenayah berkenaan, kini menjalani hukuman penjara di AS.
Ketika ini, butiran mengenai hari-hari terakhir Giuffre masih belum diketahui umum namun keluarganya menegaskan sepanjang hidupnya, Giuffre berani menentang penyalahgunaan kuasa, kekayaan dan pengaruh yang telah memperdayakan ramai gadis di bawah rangkaian Epstein.
Terdapat kebimbangan bayangan gelap peninggalan Epstein sekali lagi meragut satu lagi nyawa. -AGENSI