DHAKA: Polis Bangladesh memohon notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang dikehendaki berhubung tuduhan terlibat dalam pembunuhan ratusan orang semasa bantahan pelajar sehingga memaksanya meletak jawatan dan melarikan diri tahun lalu.
Awal Julari, gerakan yang dipimpin pelajar bermula dengan tunjuk perasaan aman yang dicetuskan oleh bantahan terhadap kuota pekerjaan sektor awam.
Namun, dua minggu kemudian, tunjuk perasaan itu ditangani dengan tindakan ganas oleh pasukan keselamatan yang mengakibatkan lebih 600 orang terbunuh menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Kematian itu mencetuskan kebangkitan nasional yang memaksa Hasina meletak jawatan dan melarikan diri ke India pada awal Ogos, menamatkan 15 tahun pemerintahannya.
Menjelang Oktober, Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Hasina dan lebih 40 individu lain yang dikaitkan dengan pembunuhan semasa bantahan.
“Bantuan daripada Interpol diminta bagi menahan individu yang dituduh,” kata Penolong Inspektor Jeneral di Ibu Pejabat Polis Bangladesh, Enamul Haque Sagor kepada Arab News pada Ahad.
Notis merah yang dikeluarkan oleh Interpol berfungsi sebagai permintaan kepada penguatkuasa undang-undang di seluruh dunia untuk menahan individu yang mempunyai waran tangkap daripada negara anggota.
Polis Bangladesh juga memohon notis merah terhadap 11 individu lain yang dikaitkan dengan pembunuhan semasa bantahan, termasuk Setiausaha Agung Liga Awami Hasina, Obaidul Quader, dan bekas Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal.