WASHINGTON: Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) sekali lagi mencuri tumpuan apabila mengumumkan penemuan sebuah batu misteri berbentuk tengkorak yang digelar sebagai ‘Skull Hill’ di planet Marikh.
Penemuan unik itu dikesan oleh rover Perseverance milik NASA ketika meneruskan misi eksplorasi di kawasan Port Anson terletak pinggir Kawah Jezero, lokasi yang kini menjadi tumpuan saintis bagi mencari bukti kehidupan lampau di planet merah tersebut.
Menurut kenyataan NASA, batu itu dipercayai merupakan sejenis ‘float’, iaitu batuan yang terbawa dari tempat asalnya ke lokasi lain melalui proses semula jadi, seperti hentaman meteorit atau hakisan angin kuat di permukaan Marikh.
“Batuan ini jelas berbeza daripada permukaan sekitar yang berwarna cerah, dengan tona gelap dan permukaan yang bersegi. Ia turut memaparkan beberapa lekuk yang dalam seperti soket mata pada tengkorak,” menurut NASA dalam satu kenyataan rasmi.
Gambar Skull Hill diambil menggunakan instrumen Mastcam-Z milik Perseverance awal bulan ini semasa rover itu menuruni kawasan yang dikenali sebagai Lower Witch Hazel Hill.
Lokasi tersebut menandakan sempadan antara dua jenis permukaan batuan berbeza yang boleh dilihat dari orbit dikenali sebagai kawasan ‘contact’.
NASA memaklumkan terdapat beberapa batuan ‘float’ lain turut ditemui di kawasan Port Anson yang mempunyai ciri-ciri seakan-akan Skull Hill, namun asal usul sebenar batu tersebut masih menjadi persoalan yang belum terjawab.
Antara teori yang sedang dipertimbangkan ialah kemungkinan batu itu merupakan meteorit kerana sebelum ini pernah dijumpai oleh rover Curiosity di Kawah Gale sebelum ini.
Namun begitu, analisis kimia terhadap beberapa batuan berhampiran menunjukkan kandungan unsur yang tidak selari dengan ciri-ciri meteorit, sekali gus menimbulkan teori kedua mengenai Skull Hill mungkin merupakan batuan igneus, terbentuk daripada pembekuan magma atau lava, kemudian dihanyutkan dari kawasan asal atau tercampak akibat hentaman.
Bagaimanapun, misteri ini dijangka bakal dirungkai tidak lama lagi apabila Perseverance dijadualkan menjalankan analisis terperinci terhadap komposisi kimia batuan tersebut. –